Perubahan iklim akibatkan kekurangan salji di Sapporo terpaksa import

Perubahan iklim akibatkan kekurangan salji di Sapporo terpaksa import

30,000 tan salji diperlukan untuk penghasilan pelbagai arca, termasuk watak animasi dalam festival salji di Sapporo setiap tahun.

Pengajur terpaksa membawa masuk salji dari bandar Niseko bagi meneruskan acara setiap tahun itu. (Gambar Instagram Sapporo)

Puluhan ribu pelancong akan membanjiri festival salji yang mempamerkan kira-kira 200 arca ais bersaiz besar di Sapporo, Jepun setiap tahun.

Bagaimanapun, berikutan suhu tinggi akibat perubahan iklim pada tahun ini, tiada salji turun menyebabkan pihak penganjur terpaksa membawa masuk salji dari tempat lain bagi meneruskan acara itu.

Pegawai festival tersebut, Yumato Sato berkata, tahun ini pihaknya amat terkejut kerana ini kali pertama dalam sejarah kekurangan salji di Sapporo.

“Kekurangan salji tidak pernah berlaku sebelum ini. Lazimnya, kami akan menggunakan 30,000 tan salji untuk penghasilan pelbagai arca, termasuk watak animasi.

“Namun tahun ini, kami terpaksa membawa masuk salji dari tempat lain yang kami tidak pernah pergi sebelum ini seperti Niseko, sebuah bandar terkenal dengan acara ski terletak kira-kira 60 kilometer dari Sapporo,” katanya.

Sebahagian arca yang diperbuat daripada salji dan dipamerkan sempena Festival Salji Sapporo. (Gambar Instagram Sapporo)

Bukan itu saja, Sato juga memberitahu bahawa pihak mereka memerlukan salji yang bersih bagi menghasilkan arca yang berkualiti.

“Salji berkenaan perlu bersih, jika tidak arca boleh pecah. Kami hampir tidak berjaya memperoleh salji yang mencukupi untuk membuat arca,” katanya.

Sementara itu, menurut Weathernews dalam satu kenyataannya, jumlah taburan salji yang rendah di Jepun, tahun ini, menyebabkan banyak resort ski tidak dapat beroperasi.

“Disebabkan permasalahan ini, ¼ daripada 400 resort di sini tidak dapat beroperasi,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.