Menteri Sabah lapor polis berhubung rakaman suara WhatsApp tawar pinjaman

Menteri Sabah lapor polis berhubung rakaman suara WhatsApp tawar pinjaman

Wong Junz memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mempercayai dakwaan dalam rakaman tersebut yang mula tersebar di WhatsApp.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong.
KOTA KINABALU:
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong menyelar mereka di sebalik rakaman suara di mana seorang individu mendakwa dia dengan mudah dapat membantu orang ramai mendapatkan pinjaman pertanian kerana mempunyai hubungan dengan menteri.

Junz memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mempercayai dakwaan dalam rakaman tersebut yang mula tersebar di WhatsApp, menyatakan beliau tidak pernah mengizinkan mana-mana orang tengah melobi untuk mana-mana projek melalui ahli keluarganya.

“Ini semua tidak benar dan ia satu penipuan.

“Saya telah membuat laporan polis berhubung perkara itu hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Dalam rakaman suara itu, individu tersebut berkata dia kenal Jack Wong, abang kepada Junz, dan melalui hubungan ini, seseorang itu boleh mendapatkan pinjaman dari Agro Bank.

Junz berkata individu itu juga mendakwa mereka yang memperkenalkan syarikat yang berminat untuk mendapatkan bantuan kewangan tersebut akan menerima bayaran rujukan.

“Sesiapa yang berhasrat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian atau terlibat dalam program pembangunan pertanian boleh berhubung terus dengan kementerian saya atau jabatan dan agensi di bawahnya,” katanya.

Beliau berkata pegawai di bawah kementerian pertanian juga tidak dibenarkan menjadi perantara untuk mendapatkan projek atau melaksanakan program di bawah kementerian.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengabaikan mesej tersebut dan menghubungi kementeriannya secara langsung jika mereka memerlukan bantuan atau bimbingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.