Hanya 200 pelancong China berbaki di Sabah, kata konsul jeneral

Hanya 200 pelancong China berbaki di Sabah, kata konsul jeneral

Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide berkata jumlah pelancong China menurun secara mendadak sejak Sabah melarang penerbangan dari China.

Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide (pegang replika cek, kanan) menerima sumbangan daripada Persatuan Persahabatan Ma-Zhong di Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU:
Terdapat hanya kira-kira 200 pelancong China yang masih tinggal di Sabah, kata Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide.

Liang berkata jumlah pelancong China menurun secara mendadak sejak kerajaan negeri melarang penerbangan dari China ke Sabah dan mengenakan sekatan masuk dalam usaha menghentikan penyebaran koronavirus.

“Terdapat beberapa pelancong China yang sudah ada di Sabah sebelum penggantungan penerbangan.

“Namun kerajaan mengambil pelbagai langkah termasuk melanjutkan sesetengah visa dan memastikan beberapa syarikat penerbangan beroperasi supaya pelancong dapat kembali ke China.

“Hasilnya, jumlah pelancong berkurang daripada beberapa ribu hingga 100 hingga 200 pelancong sekarang,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan berjumlah 250,000 renminbi (kira-kira RM150,000) daripada Persatuan Persahabatan Ma-Zhong di konsulat jeneral, hari ini.

Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide (kanan) ketika bercakap dengan pemberita.

Liang berkata terdapat antara 2,000 hingga 3,000 warga China yang memegang pas pekerja di Sabah dan 700 lagi pelajar, kebanyakannya belajar di Universiti Malaysia Sabah.

“Tetapi ramai di antara mereka telah kembali ke China dalam tempoh Tahun Baru Cina,” katanya.

Liang berkata kerajaan Sabah hanya melarang pemegang pas pekerja dari wilayah Wubei, Jiangsu, Zhejiang dan kawasan lain di mana wabak virus itu dianggap serius.

“Tetapi orang-orang dari kawasan lain dibenarkan kembali ke Sabah.

“Saya harap wabak itu semakin berkurangan, kerajaan negeri akan menyesuaikan polisi penggantungan penerbangan dan sekatan masuk.

“Saya sangat yakin ramai pelancong China akan kembali ke Sabah,” kata Liang.

Mengenai lanjutan visa kepada pelancong China, katanya, kerajaan negeri belum memaklumkan kepada konsulat jika pelancong dibenarkan tinggal selepas tempoh 7 hari itu tamat.

“Mengikut permintaan pihak berkuasa imigresen Sabah, pelancong terpaksa meninggalkan selepas 7 hari (apabila visa tamat).

“Kerajaan Sabah mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada mereka yang mempunyai keadaan khas akan dibenarkan untuk melepasi tempoh lanjutan visa selama 7 hari,” kata Liang.

Ketua Menteri Shafie Apdal sebelum ini berkata visa itu tidak boleh dilanjutkan lebih dari seminggu kerana negeri itu tidak kelengkapan untuk menangani wabak koronavirus di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Christina Liew berkata lanjutan 7 hari itu hanya sah bagi pelancong China yang tiba di Sabah sebelum 31 Jan iaitu hari di mana Sabah menggantung semua penerbangan yang dijadualkan dari China.

Pada 8 Feb, kerajaan terus mengenakan sekatan kemasukan ke atas warga asing dan juga rakyat Malaysia.

Sabah belum mencatatkan sebarang kes jangkitan koronavirus setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.