
[Nota editor: Nota pengenalan sebelum ini mengandungi kesilapan. Sepatutnya “PAS dan Umno mengiktiraf kewujudan rakyat berbilang kaum”. Ia sudah dibetulkan bagi mencerminkan maksud laporan itu. Kesilapan ini tidak disengajakan dan kami memohon maaf.]
Beliau turut menolak PAS terbabit dalam pembentukan Pakatan Nasional seperti didakwa khabar angin yang tersebar baru-baru ini.
“Saya tak faham kerana sejak dari awal lagi, sama ada PAS atau Umno, kita selalu sebut kita memahami dan mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum dan agama dalam negara kita.
“Semuanya ada peranan dan hak masing-masing dan tidak timbul pemerintahan satu pihak,” katanya pada sidang media di Terengganu semalam.
Isnin lalu, Lim dilaporkan berkata, kerajaan yang dikuasai orang Melayu “akan membawa zaman gelap kepada Malaysia seperti di Kelantan” di mana pemimpinnya memandang rendah teknologi moden kecuali “kereta mewah Mercedes Benz”.
Katanya, Pakatan Nasional ialah ancaman jelas dan nyata terhadap cara hidup Malaysia susulan pengumuman pemimpin PAS tidak mahu menteri Kabinet bukan Islam, khasnya jawatan penting seperti menteri kewangan, walaupun tidak wujud halangan sedemikian dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pada 20 Jan lalu, FMT melaporkan kemungkinan berlaku penjajaran baru politik yang boleh mendorong PAS ke Putrajaya berikutan kemerosotan sokongan kepada Pakatan Harapan dan pertemuan Presidennya, Abdul Hadi Awang dan Dr Mahathir Mohamad.
Penjajaran baru itu yang dikatakan bakal menghimpunkan kumpulan menyokong Mahathir dengan pengaruh PAS di negeri majoriti Melayu akan memberi kesan buruk kepada DAP dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang akan menjadi perdana menteri ke-8 menerusi persefahaman dalam kalangan pimpinan PH.
Bagaimanapun, Mahathir dalam responsnya memandang ringan laporan berhubung kemungkinan menjalin kerjasama dengan PAS dan berkata, tugasnya ialah berjumpa “semua orang”, termasuk musuhnya.
Hari ini, Samsuri yang juga menteri besar Terengganu berkata, cadangan PAS membawa usul undi percaya di Dewan Rakyat pada bulan depan bagi menyokong kepimpinan Mahathir bukan perkara pelik.
Beliau berkata, ia bertujuan memberi keyakinan kepada Mahathir untuk terus mentadbir negara.
“Sekarang ini kita banyak dengar ada pihak nak cerita jadi perdana menteri sehingga timbul perdana menteri (PM) tepi dan sebagainya.
“Jadi, pada saya ini adalah untuk perdana menteri masa ini jalankan tugas tanpa sebarang gangguan dan kita di peringkat negeri dan parti sokong Mahathir sebagai perdana menteri kita.”