
Hakim Norashima Khalid turut memerintahkan pihak pembelaan memfailkan notis bertulis berhubung permohonan itu pada 18 Feb ini, selain pihak pendakwaan perlu mengemukakan afidavit balasan pada 25 Feb ini.
“Tertuduh perlu hadir pada tarikh berkenaan (3 Mac), selain penetapan tarikh keputusan permohonan. Pada hari berkenaan (3 Mac), perlu ada hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak. Saya tidak mahu ada lagi lanjutan atau sebarang alasan, mesti ada hujahan balas (pembelaan dan pendakwaan),” katanya.
Dalam prosiding itu, peguam Rajpal Singh yang mewakili Yong berkata, permohonan itu dibuat atas alasan pihaknya memfailkan notis rayuan di Mahkamah Persekutuan semalam, selepas permohonan memindahkan kes itu daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi ditolak Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar berkata, pihaknya sedia meneruskan perbicaraan bersama saksinya.
“Memfailkan notis permohonan bukan alasan untuk menangguhkan perbicaraan melainkan mahkamah (Sesyen) memikirkan ada sebab-sebab munasabah yang lain.”
Rajpal ketika ditemui di luar mahkamah berkata, tarikh mendengar keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan belum ditetapkan.
“Kami belum dapat tarikh sebab ia proses yang panjang. Hakim Mahkamah Rayuan perlu menulis alasan penghakiman mereka, baru rekod rayuan akan disiapkan untuk didengar di Mahkamah Persekutuan,” katanya sambil menambah tarikh perbicaraan ditetapkan esok sehingga Jumaat ini dikosongkan.
Pada 5 Dis lalu, Norashima menetapkan tarikh perbicaraan kes Yong yang juga Adun Tronoh pada 10 hingga 14 Feb ini.
Pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan, manakala Yong juga diwakili peguam Salim Bashir dan Farhan Sapian.
Pada 23 Ogos tahun lepas, Yong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia di sebuah rumah di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam 7 Julai 2019.
Semalam, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak permohonan Yong memindahkan perbicaraan kes rogol dihadapinya daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Keputusan majoriti 2-1 oleh panel 3 hakim membabitkan Yaacob Md Sam dan Kamaludin Md Said menolak permohonan itu, manakala Rhodzariah Bujang menentang keputusan itu.