
Beliau berkata sesetengah pihak mempersoalkan bagaimana kos penjimatan adalah RM3.1 bilion sedangkan kos asal bukanlah RM21.9 bilion tetapi RM16.5 bilion.
“Ini adalah kerana mereka sengaja mengelirukan dengan menyatakan kos pembinaan sebanyak RM16.5 bilion sebagai kos keseluruhan projek LPBS tanpa mengambil kira kos-kos lain.
“Kos-kos lain termasuk imbuhan balik rakan pelaksana projek (PDP) dan perunding; yuran PDP dan perunding; kontingensi; pengambilan balik tanah dan independent consulting engineer,” katanya dalam satu kenyataan.
Lim berkata di bawah kerajaan persekutuan sekarang, kos keseluruhan projek LPBS dikurangkan sebanyak RM3.1 bilion daripada kos asal.
Beliau berkata dengan kaedah PDP sebanyak RM21.9 bilion yang merangkumi kos pembinaan RM16.5 bilion kepada kaedah konvensional sebanyak RM18.8 bilion merangkumi kos pembinaan RM16.1 bilion.
“Di bawah model PDP, kos keseluruhan untuk melaksanakan projek LPBS bukan sahaja melibatkan kos pembinaan, tetapi juga melibatkan bayaran kepada syarikat PDP termasuk bayaran imbuhan balik (reimbursable) dan juga bayaran yuran PDP (5.5% daripada kos pembinaan),” katanya.
Pada 7 Feb lalu, bekas menteri kerja raya Fadillah Yusof membidas Lim kerana mendakwa Putrajaya akan jimat RM3.1 bilion dengan membatalkan perjanjian dengan PDP Lebuh Raya Pan Borneo.
Fadillah menggambarkan kenyataan Lim bahawa kos projek boleh turun kepada RM18.8 bilion daripada RM21.8 bilion jika dilaksanakan kerajaan secara konvensional, adalah “mengelirukan dan bertujuan untuk menipu”.
Beliau berkata sasaran asal kos projek itu dihadkan kepada RM16.488 bilion dan bukan RM21.9 bilion, dengan sasaran tarikh siap pada akhir 2021.
Pada 6 Feb, Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata langkah menamatkan PDP – Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) – membawa penjimatan sehingga 40% atau RM3.1 bilion dan kos asal RM21.9 bilion berjaya dikurangkan kepada RM18.8 bilion.
Mengulas lanjut, Lim berkata anggaran kos keseluruhan projek LPBS dengan kaedah konvensional sebanyak RM18.8 bilion telahpun dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada tahun lepas.
Beliau menegaskan kos pembinaan projek LPBS yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu sebanyak RM16.5 bilion bukanlah kos keseluruhan projek yang perlu ditanggung oleh kerajaan.