
Anak kepada bekas timbalan perdana menteri Abdul Ghafar Baba itu berkata, dengan cara itu beliau juga dapat berdepan Tunku Ismail sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah.
“Jadi saya bolehlah sepina mereka, di situ banyak benda boleh dikemukakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hampir 3 jam memberi keterangan di Bukit Aman.
“Bila nak membela diri sendiri, maknanya saya terpaksalah memanggil TMJ juga,” tambahnya.
Polis memanggil Tamrin untuk diambil keterangan berhubung artikel dengan tajuk berunsur kesat yang dimuat naik pada 1 Feb. Beliau disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
Beliau ditemani peguamnya, Mohd Azharzul Ab Talib.
Tamrin berkata polis menyoal setiap satu daripada 34 perkara dalam artikel, yang menyenaraikan beberapa kritikan.
Beliau memberitahu dia akan menulis satu artikel di blognya hari ini dengan tajuk “Saya ke Bukit Aman sekali lagi”.
“Ekoran apa yang berlaku hari ini, saya akan buat tulisan baru hari ini,” katanya.
Tamrin turut memaklumkan tidak mempunyai akaun Facebook susulan penyebaran artikel itu.
“Saya ada blog sahaja,” katanya.