Syarikat bas ekspres edar topeng muka kepada pemandu, penumpang

Syarikat bas ekspres edar topeng muka kepada pemandu, penumpang

Ia diagih kepada pemandu dan penumpang perjalanan dari Kota Bharu ke negeri luar pada hari ini.

Pengarah Urusan Ekspres Perdana Laili Ismail (kanan) mengagihkan topeng muka kepada penumpang sempena kempen cegah koronavirus di Terminal Bas Lembah Sireh hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Syarikat pengangkutan bas Ekspres Perdana di Kelantan antara yang pertama mengambil inisiatif mengagihkan topeng muka kepada pemandu dan penumpang basnya dalam usaha membantu mengekang penularan jangkitan koronavirus novel 2019 (2019-nCoV).

Pengarah Urusan Laili Ismail berkata pemberian 300 topeng muka itu antara langkah pencegahan yang diambil syarikat memandangkan pemandu bas berdepan dengan penumpang yang pelbagai selain perlindungan kepada penumpang.

“Mungkin ada penumpang yang selesema atau batuk, jadi wajib mereka menggunakan topeng muka untuk mengelakkan penyebaran virus, tidak semestinya virus yang sedang berlaku ini sahaja bahkan virus biasa yang berada dalam persekitaran kita,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas menghadiri Kempen Cegah 2019-nCoV di Terminal Bas Lembah Sireh hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dr Azman Yacob.

Topeng muka berkenaan diagih kepada pemandu dan penumpang perjalanan dari Kota Bharu ke negeri luar pada hari ini.

Sementara itu, Azman berkata pemakaian topeng muka kepada pemandu dan penumpang bas amat digalakkan.

“Selain pemakaian topeng muka, orang ramai juga perlu menjaga kebersihan termasuk mencuci tangan menggunakan sabun atau pembasmi kuman tangan, selain mengelakkan memakan makanan mentah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.