
Menterinya Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah tersebut, 3 orang merupakan ibu, adik perempuan dan anak saudara lelaki tempatan berusia 32 tahun itu.
Manakala baki seramai 19 orang pula merupakan anggota perkhidmatan kesihatan.
Jelas Dzulkefly, aktiviti pengesanan kontak rapat merupakan salah satu aktiviti pencegahan dan kawalan yang dijalankan bagi memastikan penularan penyakit berjangkit dapat dibendung.
Katanya, kontak rapat boleh dikesan dengan kumpulan yang berhubung rapat dengan individu atau kes yang disahkan positif koronavirus.
“Ini terdiri daripada mereka yang mempunyai kontak rapat dalam lingkungan 1 meter dengan kes positif 2019-nCoV seperti anggota kesihatan yang merawat kes tanpa memakai ‘Peralatan Perlindungan Peribadi’ (PPE) yang disarankan atau tinggal dalam satu rumah yang sama,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di sini, hari ini.
Awal pagi tadi, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan mengesahkan seorang warganegara Malaysia yang bekerja di Macau dan pernah ke China sebelum pulang ke tanah air pada 1 Feb lalu, dijangkiti koronavirus menjadikan mangsa kes ke-18 positif wabak itu.
Ketika ditanya sama ada Malaysia perlu melaksanakan arahan bekerja dari rumah untuk membendung penularan kluster virus tersebut Dzulkefly berkata, negara belum sampai ke tahap pelaksanaan langkah tersebut.
Beliau berkata, situasi sekarang tidak menunjukkan indikasi yang menuntut kerajaan mengumumkan tindakan itu.
Bagaimanapun katanya, sekiranya terdapat permintaan untuk bekerja dari rumah, maka ia tertakluk kepada kebenaran syarikat masing-masing.
“Tapi kita belum masih lagi sampai ke langkah itu,” katanya.