5 cabaran seluruh dunia terpaksa tempuh kerana wabak koronavirus

5 cabaran seluruh dunia terpaksa tempuh kerana wabak koronavirus

Jika anda mengalami simptom selesema, segera dapatkan rawatan daripada klinik berdekatan.

Sehingga kini pakar perubatan masih belum dapat mencari vaksin yang sesuai untuk merawat pesakit yang dijangkiti koronavirus.

Wabak koronavirus yang sudah menular hampir ke serata dunia menyaksikan jumlah mereka yang dijangkiti telah melebihi 20,000 individu.

Wabak ini mempunyai potensi tularan yang lebih tinggi berbanding jenis virus lain termasuk SARS-CoV dan MERS-CoV.

Namun tidak dinafikan, kadar kematian yang disebabkan koronavirus masih lagi rendah, berbanding jumlah individu yang dijangkiti.

Pada tahun 2003, sindrom pernafasan akut teruk (SARS) diisytiharkan sebagai ancaman kesihatan global.

Ia telah menyebabkan kematian kira-kira 15% daripada jumlah mereka yang dijangkiti.

Sindrom pernafasan timur tengah (MERS) yang melanda pada 2012 turut mempunyai kadar kematian yang tinggi.

Hal ini menimbulkan kerisauan di seluruh dunia berikutan rawatan untuk wabak ini masih belum lagi ditemui.

Cabaran menghadapi wabak koronavirus

1. Bagaimana ia tersebar?

Tidak dapat dinafikan, panik yang berlaku khususnya di kalangan rakyat Malaysia berpunca daripada maklumat yang masih tidak jelas berkaitan cara penyebaran virus ini.

Menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), seperti SARS-CoV dan MERS-CoV, koronavirus juga merupakan virus yang tergolong dalam kumpulan “beta”.

Ia kebiasaannya boleh dijumpai pada haiwan liar terutamanya kelawar.

Pada peringkat awal jangkitan, wabak koronavirus mempunyai kaitan dengan makanan laut dan haiwan eksotik yang boleh dijumpai di pasar borong Wuhan.

Bermula dari saat itu, pihak berkuasa China telah melaporkan berlakunya penyebaran antara manusia yang menyebabkan peningkatan kes positif koronavirus ini.

Beberapa persoalan perlu dijawab bagi memahami berkenaan dengan risiko penyebaran koronavirus:

  • Berapa lama tempoh inkubasi (dari tempoh jangkitan kepada simptom)?
  • Adakah individu boleh menyebarkan virus ini walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang simptom?
  • Adakah simptom jangkitan ini boleh jadi bertambah teruk?
  • Adakah topeng muka biasa mampu menghalang penyebaran virus ini atau semua individu perlu menggunakan topeng muka N95?

2. Sukar untuk kita rawat pneumonia teruk

Pneumonia yang disebabkan oleh wabak koronavirus sukar untuk dirawat.

Seperti SARS dan MERS, fasiliti kesihatan global masih tidak mempunyai ubat antiviral yang khusus untuk meringankan simptom komplikasi pneumonia yang disebabkan virus tersebut.

Jangkitan paru-paru yang disebabkan virus tidak ada rawatan spesifik.

Apa yang lebih teruk lagi adalah jika jangkitan tersebut dirumitkan dengan jangkitan bakteria yang rintang dengan antibiotik.

Ini menyebabkan simptom pesakit menjadi bertambah teruk.

Jangkitan tersebut boleh melarat sehingga melibatkan organ selain paru-paru.

Golongan berisiko seperti orang tua dan mereka yang ada masalah sistem pertahanan badan.

Mereka yang mengalami kegagalan fungsi organ perlu dirawat dalam unit jagaan intensif (ICU).

Tanpa kawalan jangkitan yang baik, mereka yang berisiko untuk mengalami komplikasi mudah untuk dijangkiti.

Perkara ini bukan sahaja boleh menurunkan kualiti hidup individu malah meningkatkan kadar kematian akibat daripada wabak koronavirus.

Cabaran menghadapi wabak koronavirus baharu

3. Ia sama macam simptom jangkitan selesema ke?

Susah sebenarnya nak membezakan antara simptom wabak koronavirus jangkitan influenza.

Ini kerana kedua-dua virus menjangkiti saluran pernafasan, lalu menyebabkan munculnya simptom yang lebih kurang sama.

Badan akan bertindak balas dengan meningkatkan suhu (demam) dan anda akan alami simptom lain seperti batuk, selesema dan pening kepala.

Untuk makluman, simptom-simptom tersebut merupakan simptom tidak spesifik.

Terdapat banyak virus yang boleh menyebabkan gejala-gejala tersebut.

Jika benar anda dijangkiti koronavirus sekalipun, anda kena ingat, terdapat 7 strain koronavirus yang boleh menjangkiti manusia.

4 daripada 7 strain tersebut boleh menyebabkan masalah selesema ringan.

Hospital di Malaysia dilengkapi dengan peralatan moden yang boleh digunakan untuk mendiagnosis wabak koronavirus dengan lebih tepat.

Namun, bagi mereka yang menginap di kawasan luar bandar atau tempat yang tidak mempunyai akses kepada fasiliti kesihatan, ia boleh menjadi satu cabaran yang besar untuk menghindarkan penularan wabak koronavirus jika golongan ini dijangkiti.

Jika terdapat tanda seperti demam, selsema dan batuk segeralah pakai topeng muka dan berjumpa dengan doktor.

4. Awas buat anda yang mempunyai masalah kronik

Seperti jangkitan virus lain, individu yang ada masalah kronik seperti sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi mempunyai risiko untuk mendapat komplikasi teruk akibat wabak koronavirus.

Jika dilihat pada kadar kematian yang semakin meningkat, kebanyakannya melibatkan golongan tua, mereka yang mengalami masalah kronik dan mereka yang mengalami masalah sistem imun.

Sistem pertahanan badan memainkan peranan penting bagi menghindari jangkitan koronavirus.

Mereka yang mengalami masalah penyakit kronik cenderung untuk mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.

Perkara ini menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai jenis jangkitan.

5. Cabaran penyebaran maklumat palsu

Apabila masyarakat kurang faham terhadap sesuatu, mereka cenderung menyebarkan maklumat palsu berkaitan dengannya.

Maklumat palsu bukan sahaja boleh menyebabkan huru-hara, malah ia merupakan satu bentuk penganiayaan kepada individu lain.

Pelbagai jenis maklumat palsu telah tersebar sejak penularan wabak koronavirus dan pihak berkuasa terlibat telah membuat notis penafian berkenaan dengannya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan amaran keras kepada mereka yang terlibat dalam penyebaran maklumat palsu.

Mereka yang ditangkap boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Seksyen 233.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Walaupun penyebaran maklumat palsu masih lagi terkawal, namun penggunaan media sosial secara meluas membuatkan ia mudah untuk mencetuskan huru-hara dalam kalangan mereka yang tidak mengambil inisiatif untuk menyiasat terlebih dahulu maklumat yang bakal disebar.

Bukan mudah untuk kita tangani penularan wabak koronavirus.

Usaha tersebut perlu mendapat kerjasama daripada semua individu dalam memastikan jangkitan itu berada dalam keadaan terkawal.

Jika anda mengalami simptom selesema, dapatkan rawatan daripada klinik berdekatan.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.