Sambutan Thaipusam, Chap Goh Mei di Pulau Pinang lancar, kata ketua menteri

Sambutan Thaipusam, Chap Goh Mei di Pulau Pinang lancar, kata ketua menteri

Persembahan tarian dari China untuk perayaan Chap Goh Mei dibatalkan kerana kru tarian dari Lanzhou dan Qingdao tidak dapat datang ke Pulau Pinang.

Menurut kerajaan Pulau Pinang,, tindakan sewajarnya diambil untuk memberi kesedaran kepada orang awam supaya berhati-hati apabila berada di tempat awam, terutamanya di lokasi sambutan berikutan penularan wabak koronavirus.
GEORGE TOWN:
Dua perayaan utama yang diadakan di Pulau Pinang semalam berjalan lancar meskipun terdapat kebimbangan jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata kedua-dua sambutan utama, Thaipusam dan Chap Goh Mei sempena Tahun Baru Cina itu, menarik ratusan ribu pengunjung.

“Saya bersyukur semua acara awam besar-besaran dapat berlangsung dengan jayanya.

“Pihak penganjur mengambil tindakan sewajarnya untuk memberi kesedaran kepada orang awam supaya berhati-hati apabila berada di tempat awam terutamanya di lokasi sambutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Chap Goh Mei di Padang Kota Lama, di sini malam tadi.

Exco negeri Yeoh Soon Hin.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata, cecair pembasmi kuman tangan serta penutup hidung dan mulut disediakan dan diedarkan kepada orang ramai semasa acara berlangsung sebagai langkah pencegahan koronavirus.

“Pada masa yang sama, petugas program itu juga membersihkan dan membasmi kuman di meja dan kerusi untuk acara itu,” katanya.

Beliau berkata, beberapa persembahan tarian dari China yang diatur untuk perayaan Chap Goh Mei dibatalkan kerana kru tarian dari Lanzhou dan Qingdao tidak dapat datang ke Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.