Satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah, Sarawak layak dipertimbang, kata menteri

Satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah, Sarawak layak dipertimbang, kata menteri

Keutamaan kerajaan kini ialah untuk mengatasi baki 4 isu yang belum diselesaikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri Darell Leiking melawat sebuah gerai kraftangan sempena Program Pembangunan Usahawan di Penampang, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU:
Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri Darell Leiking berkata, gesaan supaya Sabah dan Sarawak mendapat 1/3 daripada kerusi Parlimen layak dipertimbangkan.

Bagaimanapun katanya, keutamaan kerajaan kini ialah untuk mengatasi baki 4 isu yang belum diselesaikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Leiking berkata, topik mengenai 1/3 perwakilan itu tidak termasuk dalam 21 isu yang dibincangkan oleh jawatankuasa khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan M63.

Katanya, jawatankuasa itu telah menyelesaikan 17 daripada 21 isu tersebut. Isu yang belum diatasi ialah royalti minyak dan bayaran tunai petroleum, galian minyak dan lapangan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) dan hak negeri ke atas pentas benua.

“Ini adalah fasa pertama penyelesaian isu percanggahan antara kerajaan persekutuan dan negeri (Sabah dan Sarawak). Kita berharap sebaik isu ini diatasi, kita boleh melihat pula isu perwakilan 1/3 ini.

“Saya fikir ia sesuatu yang boleh dipertimbangkan; bagaimana kita melakukannya adalah satu perkara lain. Kita akan tanganinya bila tiba masa,” katanya kepada pemberita pada satu acara di Penampang dekat sini, semalam.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg baru-baru ini berkata, kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak seharusnya melebihi 1/3 daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen.

“Dulu, semasa ada Singapura (dalam Malaysia), kita ada lebih daripada 1/3 (kerusi), tetapi sekarang jumlahnya kurang daripada itu,” katanya.

Beliau berkata, Putrajaya memerlukan sokongan Sabah dan Sarawak, terutamanya apabila ia mahu meminda perlembagaan persekutuan, bukan hanya menumpukan sokongan daripada Malaya.

Sarawak mempunyai 31 kerusi dan Sabah 25 daripada 222 kerusi Parlimen pada masa ini. Ketika Malaysia dibentuk pada 1963, Malaya mempunyai 2/3 kerusi, sementara bakinya dimiliki oleh Sabah, Sarawak dan Singapura (Malaya 104, Singapura 15, Sabah 16 dan Sarawak 24 kerusi).

Apabila Singapura keluar, 15 kerusi yang diwakilinya tidak diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak.

Leiking berkata, beliau dan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal juga berbincang sesama mereka mengenai isu tersebut, selain menambah bahawa Shafie juga peka mengenainya.

“Anda boleh lihat bagaimana Shafie bersungguh-sungguh mahu kerusi kita ditambah. Beliau adalah pemimpin yang berusaha mendapatkan kelulusan kerajaan persekutuan dan Parlimen supaya menambah 13 kerusi negeri di Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.