Pusat pelancongan pernah ditutup disebabkan oleh sikap pelancong!

Pusat pelancongan pernah ditutup disebabkan oleh sikap pelancong!

Sesetengah sikap pelancong bukan sekadar melawat sebaliknya mereka bersikap agresif dan pengotor hingga membuatkan beberapa tempat pelancongan terpaksa ditutup.

Pulau yang popular disebabkan filem yang dilakonkan oleh Leonardo DiCaprio terpaksa ditutup sehingga 2021.(Gambar Daily Mail)

Setiap kali anda pergi melancong, anda mesti nak pergi ke tempat-tempat yang menarik.

Tambah lagi jika anda melancong ke luar negara, sudah pasti anda akan pergi ke tempat menarik dan popular untuk bergambar disamping menikmati pemandangannya.

Walaupun tindakan ini sedikit sebanyak membantu ekonomi di kawasan tersebut, namun terdapat beberapa pusat pelancongan terkenal yang terpaksa ditutup ataupun terdapat undang-undang baru yang terpaksa dilaksanakan kerana terlampau banyak pelancong ataupun perkara-perkara teruk yang dibuat oleh pelancong bila mereka berada disana.

Maya Bay

Pulau yang popular disebabkan filem yang dilakonkan oleh Leonardo DiCaprio terpaksa ditutup disebabkan terlampau banyak pelancong yang datang ke sini dan merosakkan pantai pulau yang cantik ini.

Pertama kali ia ditutup adalah pada Jun 2018 dan dikatakan akan dibuka kembali dalam beberapa bulan.

Namun pada May 2019, kerajaan Thailand menyatakan yang mereka terpaksa menutup pulau ini lebih lama iaitu sehingga tahun 2021.

Sebelum Maya Bay ini ditutup, ia telah menarik lebih 5,000 orang pelancong setiap hari dan pelancong yang datang ke sini dikatakan membuang sampah merata-rata hingga menyebabkan pantai pulau ini menjadi kotor!

Kawasan tarikan pelancong yang terletak di Rome ini mula menjadi terkenal sejak tahun 1953. (Gambar tripsavvy)

Spanish Steps

Kawasan tarikan pelancong yang terletak di Rome ini mula menjadi terkenal sejak tahun 1953 apabila ia telah muncul dalam sebuah filem yang dilakonkan oleh pelakon lagenda, Audrey Hepburn.

Semenjak daripada hari itu, pelancong telah berpusu-pusu untuk datang ke tangga ini untuk bergambar selain merasai sendiri keunikan pemandangannya.

Namun pelancong yang datang ke sini agak pengotor kerana disebabkan mereka, Spanish Steps yang mempunyai 135 anak tangga ini telah menjadi kotor dan dipenuhi oleh tumpahan air “red wine” dan juga gula-gula getah yang dilekat oleh pelancong.

Pada tahun 2016, kerajaan Itali terpaksa membelanjakan USD1.68 million untuk membersihkan dan membaiki kembali tangga ini.

Kerajaan Itali juga telah mengeluarkan satu undang-undang baharu iaitu sesiapa sahaja yang duduk di tangga ini akan didenda sebanyak RM1,158 sehingga RM1,853 seorang!

Ada kes pelancong yang datang ke pulau Komodo bertindak menyeludup beberapa biawak komodo keluar dari pulau itu untuk dijual di pasaran gelap! (Gambar ecofieldtrips)

Komodo Island

Komodo Island yang terletak di Indonesia ini sememangnya satu tempat yang sangat unik.

Pulau ini dipenuhi oleh biawak komodo yang sangat besar dan ganas namun ia tetap tidak dapat membendung sikap pelancong yang kadang-kadang tidak dapat diduga.

Ada kes apabila pelancong yang datang ke pulau ini bertindak menyeludup beberapa biawak komodo keluar dari pulau itu untuk dijual di pasaran gelap!

Pada mulanya kerajaan Indonesia bercadang untuk menutup terus pulau ini daripada pelancong selama setahun namun mereka mengambil keputusan untuk membuka kembali kepada pelancong namun pelancong harus membayar untuk masuk ke pulau ini.

Bagi penduduk Indonesia akan dikenakan RM1.50 manakala pelancong luar akan dikenakan RM45!

Pelancong gemar melemparkan makanan kepada khinzir dan apabila makanan tersebut lekat pada pasir pantai ia turut akan dimakan oleh khinzir menyebabkan mereka mati kerana terlalu banyak pasir dalam usus. (Gambar youtube)

Big Major Cay Island

Kalau di Komodo Island penuh dengan biawak komodo, di Big Major Cay Island pula penuh dengan khinzir-khinzir liar yang pandai berenang di pantai-pantai.

Namun semenjak beberapa tahun lalu, khinzir-khinzir ini dilaporkan mati dalam jumlah yang sangat banyak.

Ini semua disebabkan oleh pelancong yang gemar melemparkan makanan kepada khinzir dan apabila mereka memakan makanan tersebut, pasir-pasir pantai yang melekat pada makanan tersebut turut akan dimakan oleh khinzir dan ini menyebabkan mereka mati kerana terlalu banyak pasir dalam usus.

Tidak cukup dengan itu, ada juga pelancong yang cuba memberikan khinzir-khinzir ini arak dan juga cuba menaiki khinzir-khinzir ini.

Disebabkan oleh perangai pelancong yang tidak senonoh ini, pemilik-pemilik khinzir ini terpaksa bekerjasama dengan kerajaan Bahamas untuk mengurangkan pelancong yang boleh datang ke pulau ini setiap tahun.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.