
“Rantaian bekalan kita bagi barang-barang penting kekal utuh, tidak ada risiko kekurangan bahan makanan penting atau barang keperluan isi rumah,” menurut Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Chan Chun Sing di laman Facebook beliau.
“Kita juga ada simpanan barang-barang keperluan nasional,” katanya dan menambah kementeriannya juga sentiasa mempunyai berhubung rapat dengan pekilang.
Katanya beliau sedar terdapat banyak laporan mengenai orang ramai yang membeli barang makanan serta barang keperluan isi rumah di pasar raya.
“Ini mengakibatkan wujudnya gambar rak-rak makanan yang kosong di pasar raya kita yang berlegar di media sosial. Saya sedar orang ramai bimbang selepas pengumuman tengah hari tadi bahawa kita telah meningkatkan DORSCON (Keadaan Sistem Respons Wabak Penyakit) ke peringkat oren,”menurutnya.
“Kita buat demikian kerana pada waktu ini sudah ada beberapa kes tempatan, tiada kaitan dengan kes-kes sebelum ini atau sejarah perjalanan ke China,” menurutnya.
“…. ini adalah senario yang kita sudah jangka dan kita buat persediaan, dan kita akan laksanakan langkah-langkah tambahan bagi meminimumkan risiko jangkitan seterusnya,” katanya.
Singapura semalam mengesahkan 3 kes tambahan jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara itu, menjadikan kes keseluruhannya kini berjumlah 33.
Ia turut meningkatkan penilaian risikonya dari DORSCON kuning kepada oren, memandangkan ketika ini sudah ada beberapa kes jangkitan tempatan tanpa kaitan dengan kes terdahulu atar sejarah perjalanan ke China.
DORSCON merupakan kerangka kerja ditanda dengan kod warna bagi menunjukkan keadaan semasa penyakit, di samping menetapkan apa yang perlu dilakukan bagi mengelak dan mengurangkan impak jangkitan.
Di antara kes yang sudah disahkan, 2 dibenarkan keluar hospital, manakala 2 lagi dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi.