
Kebiasaannya, selepas masyarakat Cina meraikan Tahun Baru, ia akan disusuli satu lagi perayaan iaitu Chap Goh Mei.
Istilah Chap Goh Mei berasal daripada dialek Hokkien yang bermakna malam ke-15 bagi Tahun Baru Cina di mana ia juga menandakan hari terakhir bagi sambutan Tahun Baru Cina.
Sambutan ini turut dimeriahkan dengan letupan mercun dan bunga api.
Secara literalnya, “Chap Goh” memberi maksud “15” dan “Mei” pula bermakna “malam”.
Perayaan Chap Goh Mei seringkali dikaitkan dengan mitos peristiwa 2 wanita bujang yang telah membuang buah oren ke dalam sungai dengan harapan mendapat jodoh.
Mengikut sejarah masyarakat Cina, malam ini gadis dan lelaki bujang akan berpakaian cantik dan mengunjungi tokong untuk berdoa agar ditemukan dengan pasangan yang secocok.

Pesta Chap Goh Mei disambut dengan mengadakan upacara sembahyang secara besar-besaran, di mana colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga.
Walaupun perayaan ini tidak diiktiraf sebagai cuti umum di Malaysia, ia satu perayaan yang dinanti-nantikan oleh komuniti Cina kerana ada sebahagiannya yang beranggapan Chap Goh Mei merupakan “Hari Kekasih” bagi kaum mereka.
Pada malam perayaan Chap Goh Mei, kebiasaannya masyarakat Cina akan berkumpul dan makan secara besar-besaran dengan hidangan tradisi Yuan Xiao (beras pulut berbentuk bulat) selain rumah yang dihias cantik dengan lampu-lampu merah bagi menghidupkan lagi suasana.
Secara adatnya, pada hari tersebut, akan dimainkan muzik balada cinta yang dipanggil Dondang Sayang yang diperdendangkan di jalanan dengan instrumen biola, gendang dan gong.
Ada ketika, ia menjadi komedi apabila liriknya digubah sendiri oleh penyanyi.
Pulau Pinang merupakan salah satu negeri di Malaysia yang membuat sambutan besar-besaran meraikan Chap Goh Mei.

Pada malam itu, kerajaan negeri akan menghidangkan makanan-makanan enak di sepanjang jalan selain permainan, persembahan budaya Baba Nyonya dan kuiz.
Turut disajikan, perarakan tanglung, tarian naga atau singa, opera Cina, dan mengimbang bendera besar yang dikenali sebagai “Chingay”.
Di ibu negara, pesta ini disambut meriah di Tasik Taman Jaya berdekatan Amcorp Mall.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]