Eksport sarung tangan getah Malaysia dijangka melonjak 20% tahun ini

Eksport sarung tangan getah Malaysia dijangka melonjak 20% tahun ini

Unjuran pertumbuhan eksport sarung tangan getah dijangka lebih tinggi berbanding 210-220 bilion pasang yang diunjurkan sebelum ini.

Berdasarkan situasi semasa penularan wabak H1N1 pada 2009, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia menjangkakan jualan sarung tangan getah berkembang antara 15 dan 20% tahun ini.(Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Eksport sarung tangan getah Malaysia dijangka melonjak hampir 20% kepada 230 bilion pasang pada 2020, meningkat daripada 192 bilion pasang tahun lepas ketika dunia bersiap sedia dalam usaha untuk memerangi wabak membawa maut novel coronavirus 2019 (2019-nCoV).

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata, unjuran pertumbuhan eksport dijangka lebih tinggi berbanding 210-220 bilion pasang yang diunjurkan oleh persatuan itu sebelum ini.

“Ini bermakna hasil eksport sarung tangan getah juga dijangka berkembang lebih tinggi berbanding unjuran terdahulu sebanyak RM20.68 bilion,” katanya semalam.

Memandangkan penyakit itu menular ke seluruh dunia, Low menjangkakan permintaan global terhadap sarung tangan getah meningkat sebanyak 15 hingga 20%, naik daripada pertumbuhan permintaan biasa pada 8-10%.

“Pada awalnya, dunia dijangka mengimport kira-kira 320 bilion pasang sarung tangan getah tahun ini berbanding 298 bilion pada 2019.

“Dengan penularan wabak ini, permintaan dijangkakan lebih tinggi lagi,” katanya.

Low yang memberi contoh pandemik Influenza A (H1N1) pada 2009 berkata, permintaan terhadap sarung tangan getah meningkat 17%pada tahun itu.

Berdasarkan kepada situasi semasa H1N1 itu, beliau menjangkakan jualan sarung tangan getah berkembang antara 15 dan 20% tahun ini.

“Ia bergantung kepada tempoh penularan penyakit ini, dan ia sudah pastinya tidak mereda dalam tempoh terdekat ini dan mungkin berlarutan sehingga enam ke lapan bulan lagi,” katanya.

Wabak koronavirus bermula di Wuhan, China pada lewat Disember 2019 dan ketika ini telah menular ke 28 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Setakat Jumaat, lebih 31,000 kes disahkan dan dilaporkan termasuk 15 di Malaysia, manakala kematian telah mencecah 636 orang di tanah besar China.

Malaysia, yang menjadi pengeluar sarung tangan terbesar dunia, pada 1 Feb, 2020 berjanji untuk menyumbang 18 juta pasang sarung tangan perubatan ke negara itu dalam usaha untuk membendung penularan wabak tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai darurat kesihatan global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.