
Ini kerana beliau adalah ahli dalam biro politik itu dan perlu profesional dengan memilih untuk bercuti supaya tidak dilihat mempengaruhi keputusan yang akan dibuat biro itu berhubung kes disiplin yang dihadapinya, katanya.
Menurut Zuraida, biro politik adalah badan terakhir yang akan membuat “keputusan politik” dan beliau tidak mahu berada di situ semasa keputusan dibuat.
“Kes disiplin yang sedang saya hadapi akan dirujuk kepada biro politik oleh Lembaga Disiplin selepas siasatan selesai dijalankan.
“Oleh kerana orang berkenaan (tertuduh) adalah saya, maka lebih profesional untuk saya berehat seketika,” kata Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kementeriannya dan Jasamu Dikenang di sini semalam.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, beliau sedia berdepan 2 tuduhan memfitnah yang dibuat terhadapnya di mahkamah.
Katanya, beliau telah meneliti surat tindakan undang-undang atas dakwaan memfitnah daripada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador, dan sedia berdepan tuduhan itu di mahkamah.