
Beliau berkata sedikit maklumat dalam kenyataannya tempoh hari, yang menimbulkan lebih banyak tanda tanya daripada pihak Indira, terpaksa didedahkan atas desakan masyarakat.
“Bila saya kata saya tahu, bukan saya tahu dia duduk di lokasi mana. Saya tahu dia berada di mana, tak semestinya dia berada dalam negara ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Hamid seterusnya meminta semua pihak supaya berhenti mempolitikkan kemelut Indira, yang anaknya dibawa lari ketika berusia 11 bulan.
Ketua polis negara mengingatkan apa yang paling penting sekarang ini adalah segera selesaikan nasib mangsa keluarga terpisah itu, Prasana Diksa yang terabai kerana hidup dalam persembunyian.
“Di Malaysia ini orang mati pun berpolitik, sudah tidak ada sekatan agama dan budaya. Semua hendak dipolitikkan. Jadi, mana maruah kita?” katanya.
Beliau membidas pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada kemelut Indira ini.
“Dapat dilihat menjadi jaguh agama, jaguh pertubuhan bukan kerajaan. Tolonglah berhenti menjadi mementingkan diri sendiri,” katanya.
Indira, seorang wanita Hindu, diberi hak menjaga Prasana tetapi perempuan itu dibawa lari Ridhuan.
Dia memeluk Islam pada 2009 sebelum menukar agama 3 anak mereka tanpa izinnya – langkah yang Mahkamah Persekutuan isytiharkan ditegah undang-undang pada 2018.
Mahkamah Persekutuan pada 2016 memerintahkan polis menahan Ridhuan dan memulangkan Prasana.
Minggu lepas, Hamid berkata dia tahu di mana anak Indira berada, dan satu inisiatif sedang berjalan untuk selesaikan kes itu.
Peguam Indira mempersoalkan kenapa Hamid mahu mendapatkan penyelesaian “win-win” dalam perkara itu, dan menarik perhatian kepada kewujudan perintah mahkamah.
Satu kumpulan sokongan, Indira Gandhi Action Team (INGAT) berkata tiada rekod kerajaan tentang Prasana seperti rekod imunisasi dan pendaftaran sekolah, dan mengancam saman RM100 juta terhadap Hamid sekiranya polis gagal menjelaskan kenapa Prasana belum dapat dikesan dan disatukan dengan ibunya.