
Ketua Polis Kota Kinabalu Habibi Majinji berkata, polis percaya suspek terbabit, yang dikenali sebagai Kacang@Munding mempunyai masalah peribadi dengan mangsa berusia 36 tahun, manakala 2 budak lelaki berusia 10 dan 3 tahun yang cedera dalam kejadian berada di tempat salah pada masa yang salah.
Beliau berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an bersemuka dengan mangsa yang sedang berdiri di sebuah jambatan kayu dengan 2 budak terbabit sebelum melepaskan 5 ke 6 das tembakan ke arah mereka pada jam 7.30 malam.

“Penembak memberi amaran kepada mangsa dengan berkata, ‘jika kau berani, keluar’ sebelum melepaskan tembakan ke arah mereka dari jarak kira-kira 10 hingga 15 meter,” katanya kepada pemberita selepas satu acara di SK Sri Gaya di sini hari ini.
Dalam pada itu, polis mengeluarkan gambar suspek dan meminta orang ramai menghubungi mereka sekiranya mempunyai maklumat tentang lelaki itu.
Habibi percaya suspek masih berada di pulau berkenaan.
“Jabatan Siasatan Jenayah Kota Kinabalu dan Unit D9 (unit siasatan khas) negeri kini memburu suspek dengan bantuan polis marin,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu percubaan membunuh.
Polis sebelum ini berkata suspek mempunyai senjata api laras panjang.