
Bercakap kepada FMT, Calvin Cheng dari Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa berkata, wujud kesan buruk dari segi politik dan pentadbiran sekiranya langkah yang dicadangkan oleh Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) itu diambil kira sebagai cara untuk meminimumkan kesan wabak koronavirus ke atas ekonomi.
FMM semalam menggesa Putrajaya mengurangkan SST sebanyak 2% selama 12 bulan dan caruman KWSP 3% untuk merancakkan suasana perniagaan dan merangsang penggunaan domestik.
Cheng berkata, SST mewakili 10% daripada hasil cukai kerajaan dan percaya kerajaan bakal memperoleh lebih nilai dengan meningkatkan kuasa beli pengguna secara langsung melalui bantuan tunai.
Katanya, kerajaan misalnya boleh menambah Bantuan Sara Hidup, “bukannya memberi potongan cukai kepada golongan sedia kaya”.
Beliau merujuk kajian yang menunjukkan bahawa ekonomi mendapat manfaat lebih besar daripada pindahan wang kepada rumah tangga berpendapatan rendah, berbanding pindahan kepada golongan berpendapatan lebih tinggi.
Selain itu katanya, dari segi politik, sukar bagi kerajaan untuk menaikkan semula kadar SST kepada kadar sekarang kelak.
Dalam jangka panjang, katanya, langkah kerajaan menyasarkan sokongan kepada rumah tangga daif lebih memberi kebaikan kepada ekonomi.
Beliau merujuk kepada BSH dan insurans pengangguran sebagai contoh yang baik.
“Langkah pengukuhan produktiviti jangka panjang lain, seperti menambah pelaburan infrastruktur serta menyediakan insentif pelaburan kepada firma kecil, juga membantu.”
Katanya, percubaan untuk merangsang ekonomi melalui potongan cukai kurang efektif kerana ia kurang mendalam dan mengambil masa lama untuk menampakkan kesan.
“Perniagaan dibantu secara tidak langsung melalui pertambahan permintaan pengguna, yang akhirnya membantu semua orang.”
Seorang lagi pakar ekonomi, Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata, beliau juga menolak idea pengurangan kadar SST dan caruman KWSP.
Katanya, beliau meragui 2 langkah itu akan benar-benar mempunyai kesan positif ke atas ekonomi.
“Wabak koronavirus adalah darurat kesihatan,” katanya.
“Sebaik sahaja langkah ini dilaksanakan, ia (wabak koronavirus) mungkin sudah berakhir.
Be;liau berkata, langkah terbaik yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah menunjukkan bahawa sistem penjagaan kesihatan kita mampu menghadapinya dengan cekap dan pantas.
“Jika sumber perlu dibelanjakan, maka saya akan menyalurkannya ke dalam system penjagaan kesihatan untuk menghantar isyarat bahawa Malaysia mampu menanganinya dan perniagaan boleh berjalan seperrti biasa,” katanya.
“Perniagaan sangat dipengaruhi oleh keyakinan dan sentiment.