Dadah 3M pilihan anak muda, kata polis

Dadah 3M pilihan anak muda, kata polis

Tiga jenis dadah dikenal pasti menjadi pilihan anak muda, terutama ketika penganjuran parti atau di premis hiburan.

Menurut polis, 3 jenis dadah dikenal pasti menjadi pilihan anak muda, terutama ketika penganjuran parti atau di premis hiburan, iaitu ‘Molly’, ‘McDonald’ dan ‘Magic Mushroom’.
KUALA LUMPUR:
Dikenali sebagai dadah 3M, dadah “Molly”, “Mcdonald” dan “Magic Mushroom” dikenal pasti menjadi pilihan anak muda, terutamanya ketika penganjuran parti atau di premis hiburan sejak awal tahun lepas, demikian didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohd Khalil Kader Mohd.

Beliau berkata ‘Molly’ dengan nama saintifiknya methylenedioxymethamphetamine (MDMA) juga dikenali sebagai “Ekstasi” dikesan dalam bentuk pil atau serbuk.

“Molly tidak dikesan secara khusus, namun dipercayai terdapat pengguna dadah mencampurkan dadah Ekstasi dengan lain-lain bahan terlarang bertujuan menambah atau mengurangkan kesan psikoaktif berhibur,” katanya.

Mohd Khalil berkata dadah kedua dikenali sebagai “Mcdonald” yang juga dikesan dalam bentuk pil atau serbuk merupakan campuran 4 jenis dadah iaitu methamphetamine, amphetamin, kokain dan morfin.

Mohd Khalil Kader Mohd.

“Namun pada tahun lalu, dadah McDonald ini ditemui pertama kali oleh polis menerusi Ops Club Rats di Pulau Pinang. Sebelum ini dadah ini memang tiada, jadi kami perlu buat kajian sama ada dadah itu diseludup masuk ke negara ini sebagai transit sebelum diedarkan di negara lain,” katanya.

Selain 2 jenis dadah tadi, dadah dengan nama jolokan “Magic Mushroom” antara yang dikenal pasti pihak polis yang merupakan sejenis bahan psikoaktif baru (NPS) yang akan memberikan kesan halusinasi yang cukup tinggi kepada penggunanya.

“Penggunaanya tertumpu di kelab malam dan dikesan dalam bentuk daun kering,” katanya.

Ditanya sama ada semua dadah ini didaftarkan dalam jadual dadah, Mohd Khalil berkata perkara itu memang menjadi keutamaan pihaknya.

“Polis kena daftarkan ia dengan kadar segera dalam jadual. Sepantas mereka bergerak, kita perlu bertindak…dadah adalah perniagaan mereka dan kami perlu menyaingi mereka,“ katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.