
Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, PTPTN turut mengagihkan dividen tambahan sebanyak 1% lagi bagi mereka yang mempunyai akaun SSPN bermula sebelum 2017 dan memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Ia bagi menggalakkan penabungan jangka panjang dan berkualiti.
“Walaupun keadaan ekonomi dunia agak mencabar. Alhamdulillah, kami berjaya memberikan dividen 4% kepada para pendeposit kami,” katanya dalam kemas kini akaun Facebook rasminya.
Terdahulu, beliau mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata PTPTN berjaya mencatatkan kutipan deposit SSPN sebanyak RM1.37 bilion bagi tahun 2019 sekali gus merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah kutipan deposit skim tersebut.
Jumlah itu, katanya, merupakan peningkatan sebanyak RM240 juta atau 21.24 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Selain itu, PTPTN juga berjaya melonjakkan keuntungan SSPN menjadi RM205.27 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM 41.73 juta atau 25.52% berbanding tahun sebelumnya.
“Saya amat bersyukur kerana hasil usaha gigih dan kecekapan yang ditunjukkan oleh pasukan saya di PTPTN, kami mencatat dua lagi rekod baru.
“Kedua-dua rekod baru ini adalah pencapaian tertinggi dalam sejarah wujudnya PTPTN,” katanya.
Wan Saiful berkata kejayaan itu juga membuktikan kesungguhan pasukan untuk mengubah PTPTN menjadi lebih baik dan juga memastikan agenda kerajaan Pakatan Harapan untuk mencapai kemakmuran yang dikongsi bersama menjadi kenyataan.