
Setiausaha Agungnya, Asri Abu Zarin berkata kerajaan perlu melakukan kajian terperinci dan menyeluruh ke atas keberkesanan dasar itu ketika ia kali pertama dilaksanakan pada 2003.
“Jika PPSMI mahu dilaksanakan semula, maka segala kekurangan yang memberikan impak buruk terhadap tahap pendidikan anak bangsa perlulah difahami dan diatasi.
“GPMS berkongsi kekhuatiran sama banyak pihak berhubung tahap kefahaman asas sains dan matematik sekiranya tidak diajar dalam bahasa ibunda,” katanya kepada FMT.
PPSMI mula dilaksanakan pada 2003 selepas diluluskan pada Julai 2002 di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, sebelum dimansuhkan pada 2012 susulan protes guru dan pertubuhan Melayu.
Kerajaan kemudiannya memperkenalkan Program Dwibahasa (DLP) membabitkan 22,960 pelajar sekolah rendah dan menengah sehingga November 2018.
Pada 31 Jan lalu, Mahathir mengumumkan bahasa Inggeris akan digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran sains serta dalam usaha menggalakkan penggunaan dan penguasaan bahasa itu dalam kalangan rakyat.
Asri mencadangkan kerajaan memperkenalkan silibus dan modul khusus mendokong tujuan PPSMI di tadika.
“Hal ini bagi memastikan persediaan awal berkenaan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dapat diberikan kepada pelajar peringkat tadika yang pastinya dapat meningkatkan keberkesanan PPSMI di peringkat seterusnya.”
Beliau menyeru kerajaan mengkaji tahap kompetensi guru, cabaran di kawasan pedalaman, persediaan serta langkah sesuai untuk memastikan kejayaan pelaksanaan semula dasar itu.
“Ini bagi memastikan adanya ‘trade-off’ (keseimbangan) antara kefahaman asas sains serta matematik dan juga penguasaan bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi kepada pelajar Melayu.
“GPMS percaya dasar ini mampu memberi impak baik jika dilaksanakan dengan sempurna,” katanya sambil menggesa Kementerian Pendidikan berbincang dengan pihak berkepentingan seperti ibu bapa, guru, ahli akademik dan persatuan Melayu berteraskan pendidikan.
Sementara itu, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) yang menyokong pelaksanaan semula dasar itu, menggesa semua pihak yakin dan mengambil langkah berani demi masa depan anak muda serta negara.
“Malaysia memerlukan lebih 500,000 saintis dan jurutera untuk memajukan ekonomi agar rakyat Malaysia dapat menikmati kualiti kehidupan lebih baik,” kata Pengerusi PAGE, Noor Azimah Abdul Rahim kepada FMT.
“Rakyat Malaysia mempunyai potensi hebat, kita perlu mengambil peluang ini untuk mengaut manfaat kemajuan inovasi di peringkat global.
“Sekiranya kita mempunyai profesional dan (pekerja) yang mahir bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran, kita boleh menjangkakan peningkatan FDI (pelaburan langsung asing).”