
India, pembeli minyak makan terbesar dunia, bulan lalu mengenakan kekangan ke atas import minyak sawit bertapis dan secara tidak rasmi meminta pedagang henti membeli dari Malaysia, pengeluar dan pengeksport terbesar komoditi itu di dunia selepas Indonesia.
Sumber berkata langkah itu tindakan balas kerana Mahathir membidas undang-undang kewarganegaraan baru yang menurut pengkritik mendiskriminasikan orang Islam. Mahathir juga menyebabkan India marah dengan menuduhnya menyerbu dan menduduki Kashmir, wilayah majoriti Islam yang autonominya ditarik balik New Delhi tahun lepas, dan dipertikaikan oleh Pakistan.
Anwar, yang menjangka menggantikan Mahathir yang berusia 94 tahun itu tahun ini mengikut perjanjian yang dibuat oleh bekas seterunya itu berkata Mahathir mungkin tidak menyatakan kebimbangannya secara diplomatik dalam kecamannya terhadap kerajaan India.
“Negara-negara tidak akan membantah dengan keras apabila anda suarakan kebimbangan, tetapi dalam perkara ini Mahathir agak tegas dan keras,” kata Anwar dalam satu temubual.
“Tetapi sejak itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beliau mengawal dan cuba membuat penyesuaian yang perlu. Saya yakin pemimpin-pemimpin di India akan ambil perhatian hakikat bahawa Mahathir mengatakannya, tetapi kemudian dia sekarang menahan diri daripada mengulanginya dalam kata-kata atau nada sama.”
Anwar berkata beliau dan Mahathir berbincang mengenai ketegangan dengan New Delhi dan adalah penting untuk mengekalkan hubungan ekonomi dan perdagangan yang baik dengan negara-negara seperti China dan India tanpa perlu bersetuju dengan dasar-dasar mereka.
Anwar berkata sebarang kritikannya terhadap India berkenaan isu Kashmir atau undang-undang kewarganegaran baru itu akan berbeza daripada Mahathir.
Import minyak sawit Malaysia oleh India bagi Januari mungkin jatuh 80% daripada tahun sebelumnya kepada 40,000 tan, menurut Refinitiv. India membeli 4.4 juta tan minyak sawit Malaysia tahun lepas, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia.
Sementara itu, seteru India, Pakistan berikrar akan membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia bagi membantu mengimbangi kehilangan jualan kepada India.
Pakistan mungkin membeli sekitar 135,000 tan minyak sawit Malaysia bulan lepas, suatu rekod yang tinggi, kata peniaga di India yang mengesan penghantaran seperti itu kepada Reuters tetapi tidak mahu dinamakan.