Pasukan Hazmat hadir di KLCC selepas remaja Kanada pengsan disyaki akibat koronavirus

Pasukan Hazmat hadir di KLCC selepas remaja Kanada pengsan disyaki akibat koronavirus

Remaja itu kemudian dihantar HKL di mana dia dan ahli keluarganya dipantau untuk mengesan gejala koronavirus.

Pasukan Hazmat dihantar ke KLCC selepas remaja Kanada pengsan dikhuatiri akibat jangkitan koronavirus. (Gambar Twitter)
PUTRAJAYA:
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengesahkan pasukan Hazmat dihantar untuk mengawasi seorang remaja perempuan Kanada yang pengsan di KLCC sebagai langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan koronavirus.

Beliau berkata remaja itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di mana dia dan ahli keluarganya dipantau untuk mengesan gejala koronavirus.

“Perkara yang dalam fikiran kami adalah koronavirus, tetapi ia boleh disebabkan penyakit lain yang mungkin berkaitan dengan jantung.

“Saya pun baru dapat maklumat mengenainya… pihak berkuasa, pasukan Hazmat (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya) datang dengan pakaian yang lengkap dan berjaga-jaga,” kata Dzulkefly semasa taklimat koronavirus harian Kementerian Kesihatan, hari ini.

Dzulkefly berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan HKL bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes tersebut.

Sebelum ini tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan pasukan Hazmat dan polis hadir di Tower 3, Menara Petronas, KLCC bagi mengiringi remaja Kanada berusia 17 tahun itu, pagi ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.