
KUALA LUMPUR: Saham syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia dan AirAsiaX merosot pada awal dagangan hari ini selepas Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu, Tony Fernandes dan Pengerusinya, Kamarudin Meranun mengumumkan pengunduran selama 2 bulan.
Semalam, Fernandes dan Kamarudin mengumumkan mereka akan berundur ketika pihak berkuasa menyiasat dakwaan Airbus membayar AS$50 juta (RM205 juta) untuk mendapatkan kontrak pembelian pesawat dari AirAsia.
Saham AirAsia Group merosot 5% ketika dagangan di Kuala Lumpur dibuka hari ini, manakala saham AirAsiaX mencatat kerugian 8%.
Pada 10 pagi tadi, saham AirAsia Group jatuh 6 sen atau 4.69% kepada RM1.22 dengan 24.07 juta saham bertukar tangan, manakala saham AirAsiaX merosot setengah sen atau 4.17% kepada 12 sen dengan 7.89 juta saham diniagakan.