
Menurut laporan Indeks Demokrasi 2019 yang dikeluarkan Unit Perisikan Ekonomi (EIU), Malaysia mencatat 7.16 daripada markah maksimum 10, skor paling baik setakat ini.
Malaysia mendapat skor yang baik untuk proses pilihan raya dan pluralisme, fungsi kerajaan dan penyertaan dalam politik serta budaya politik.
“Sejak dimulakan pada 2006, Indeks Demokrasi menekankan kemerosotan progresif dalam amalan demokrasi di Barat,” kata laporan itu sambil menambah AS diturunkan daripada “demokrasi penuh” kepada “demokrasi pincang” pada 2016.
Laporan itu turut memetik seorang sarjana demokrasi terkenal sebagai berkata, dunia melalui “kemelesetan demokrasi” dengan trend ke arah autoritarianisme di negara membangun.
Malaysia melangkah jauh sejak indeks itu bermula pada 2006 apabila ia mencatatkan 5.98 mata, diikuti 6.36 (2008), 6.19 (2010, 2011), 6.41 (2012), 6.49 (2013, 2014), 6.43 (2015), 6.54 (2016 dan 2017) serta 6.88 (2018).
“Sebaliknya, Malaysia yang memansuhkan undang-undang ‘berita palsu’ pada Ogos 2018 (yang diperkenalkan pada Mac tahun itu), mencatatkan peningkatan demokrasi pada 2019.
“Skornya bertambah baik dan negara naik 9 tangga di peringkat global dengan peluang berkempen untuk semua parti, termasuk pembangkang bertambah baik terutama dalam media sosial,” menurut laporan itu.
Indeks Demokrasi berdasarkan penarafan untuk 60 indikator dan 5 kategori, termasuk proses pemilihan dan pluralisme, kebebasan sivil, fungsi kerajaan, penyertaan dalam politik dan budaya politik.
Negara dengan skor lebih tinggi daripada 8 berada dalam kategori demokrasi penuh; 6 dan 8 (demokrasi pincang); 4 hingga 6 (rejim campuran) dan bawah 4 (rejim autoritarian).
Norway, Iceland, Sweden, New Zealand dan Ireland dalam kategori demokrasi penuh, manakala Syria, Afrika Tengah, Congo dan Korea Utara dalam kategori rejim autoritarian.
Thailand mencatatkan peningkatan terbesar apabila melonjak 38 anak tangga ke kedudukan 68 dan bertukar daripada kategori “rejim campuran” kepada “demokrasi pincang”.
Menariknya, kajian itu juga menunjukkan hampir separuh (48.4%) populasi dunia hidup dalam demokrasi seumpama itu, dengan hanya 5.7% berada dalam kategori “demokrasi penuh” dan lebih daripada 1/3 di bawah pemerintahan autoritarian.
Daripada 167 negara dalam indeks itu, 22 dalam kategori demokrasi penuh, demokrasi pincang (54), rejim campuran (37) dan rejim autoritarian (54).