Saya tidak tahu jika jaminan kerajaan ke atas pinjaman kepada SRC dibentang di Dewan Rakyat, kata Najib

Saya tidak tahu jika jaminan kerajaan ke atas pinjaman kepada SRC dibentang di Dewan Rakyat, kata Najib

Pada 2011 dan 2012, Kabinet yang dipengerusikan oleh Najib mengeluarkan jaminan kerajaan kepada KWAP ke atas pinjaman RM4 bilion yang diberikan kepada SRC International.

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, SRC International ditubuhkan untuk meneroka sumber vtenaga alternatif.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Najib Razak tidak pasti sama ada kerajaan membentangkan kelulusan Kabinet untuk menjamin pinjaman RM4 bilion kepada SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) di Dewan
Rakyat walaupun undang-undang menghendaki ia dilakukan.

Bekas perdana menteri, yang juga menteri kewangan ketika itu berkata, sama ada ia dibentangkan di Parlimen atau tidak merupakan tugas “functionaries”.

Tidak jelas apakah yang dimaksudkannya dengan perkataan “functionaries”, tetapi dipercayai beliau merujuk kepada pegawai Kementerian Kewangan.

“Kita tidak ada pengesahan sama ada jaminan kerajaan itu dibentangkan di Parlimen. Ia adalah tugas ‘functionaries’. Ia adalah tindakan pentadbiran,” kata Najib ketika diperiksa balas oleh pendakwa raya ad-hoc V Sithambaram.

Pihak pendakwaan kemudian merujuk kepada Seksyen 2(3) Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) yang menyebut bahawa kementerian hendaklah dengan seberapa segera membentangkan di Dewan Rakyat kenyataan jaminan bersama-sama satu salinan perjanjiannya.

Sithambaram: Saya katakan kepada anda bahawa jaminan kerajaan ini tidak dibentangkan di Dewan Rakyat?

Najib: Saya tidak tahu.

Sithambaram: Adakah anda tahu tujuan ia dibentangkan di Dewan Rakyat ialah bagi membolehkan semua (ahli Parlimen) tahu?

Najib: Ya, untuk ketelusan.

Najib yang merupakan saksi pertama dalam perbicaraannya mengaku tidak ada hansard Parlimen yang boleh dikemukakan bagi mengesahkan sama ada ia dibentang di Dewan Rakyat.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Sitahmbaram bahawa adalah tugas menteri mengikut undang-undang untuk membentangkan apa-apa jaminan kerajaan.

Pada 2011 dan 2012, Kabinet yang dipengerusikan oleh Najib mengeluarkan jaminan kerajaan kepada KWAP ke atas pinjaman RM4 bilion yang diberikan kepada SRC untuk terlibat dalam sektor tenaga alternatif.

Pendakwaan hari ini menamatkan pemeriksaan balas ke atas Najib setelah perbicaraan memasuki hari ke-74. Peguam Negara Tommy Thomas dan Sithambaram mengambil masa 12 hari dari 10 Dis untuk menyoal tertuduh.

Ketika diperiksa balas oleh peguam Farhan Read, Najib berkata, beliau tidak boleh membatalkan keputusan Panel Pelaburan KWAP untuk meluluskan pinjaman kepada SRC walaupun SRC sebelum itu ada menulis surat meminta sokongan daripadanya.

Beliau juga berkata, jaminan kerajaan ke atas pinjaman tidak ditetapkan lebih awal dan anggota Kabinet diberi peluang untuk menyuarakan pandangan mereka.

“Terdapat kes cadangan ditolak walaupun ia dibawa oleh perdana menteri,” kata Najib yang memimpin kerajaan Barisan Nasional dari April 2009 hingga Mei 2018.

Najib berkata, penubuhan SRC adalah untuk kepentingan nasional dalam usaha meneroka sumber tenaga alternatif.

“Terlalu bergantung kepada minyak dan gas juga memberi kesan ke atas kepentingan nasional,” katanya.

Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman KWAP sebanyak RM4 bilion kepada SRC International.

Beliau juga berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang dan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah dalam pemindahan RM42 juta ke akuannya daripada bekas anak syarikat 1MDB itu.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.