Penembak Delhi promosi perjuangan Hindu menerusi Internet

Penembak Delhi promosi perjuangan Hindu menerusi Internet

Remaja berusia 17 tahun yang melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan pada Khamis lepas ada bercakap tentang mengembalikan harga diri Hindu.

JEWAR:
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun meninggalkan rumahnya di sebuah pekan di utara India pada Khamis pagi selepas beritahu datuknya dia mahu ke sekolah. Sebaliknya dia muncul 80km jauh di New Delhi, di mana dia mengacukan pistol dan menembak seorang penunjuk perasaan anti-kerajaan.

Kejadian itu merupakan pertama kali seorang orang awam melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan di ibu negara India, menimbulkan kebimbangan lebih ramai orang India akan bertindak sesuka hati ketika tunjuk perasaan melanda negara itu.

Undang-undang baru yang diperkenalkan kerajaan nasionalis Hindu yang mempercepatkan kewarganegaraan untuk minoriti-minoriti bukan Islam dari 3 negara jiran itu mengundang pendapat berbelah bahagi, dengan kumpulan majoriti Hindu dan minoriti Islam sering mengambil sisi yang bertentangan.

Ahli keluarga, jiran, dan seorang pegawai sekolah di Jewar menggambarkan remaja lelaki itu – yang tidak boleh dinamakan menurut undang-undang India kerana bawah usia 18 tahun – sebagai seorang pendiam dan biasa. Tindakan ganasnya memeranjatkan mereka.

Dalam muat naik di media sosial dan perbualan dengan rakan-rakan sekelas, dia bercakap tentang mengembalikan harga diri Hindu dan mengagumi seorang aktivis haluan kanan yang dituduh polis menimbulkan keganasan.

“Dia mahu buat sesuatu untuk orang Hindu, itu yang dalam hatinya,” kata rakan sekelas, Shivam, kepada Reuters, yang hanya memberikan nama pertamanya. “Bertahun-tahun dia kata dia akan buat sesuatu yang besar.”

Reuters tidak dapat tentukan bagaimana remaja itu merancang serangan di luar Universiti Jamia Millia Islamia atau bagaimana dia memperoleh pistol itu. Dia melepaskan satu tembakan, mencederakan seorang penunjuk perasaan di tangannya.

Pesanan WhatsApp dengan seorang lagi rakan sekelas, yang dilihat Reuters, menunjukkan dia meminta beberapa ribu rupee 3 hari sebelum kejadian tembakan itu, tanpa mendedahkan kenapa.

Sejak Disember, apabila undang-undang kewarganegaraan diluluskan, ratusan ribu orang menunjuk perasaan di jalanan, mengatakan undang-undang itu anti-Muslim dan bertentangan dengan semangat sekular perlembagaan India. Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam pertempuran dengan polis.

Kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi berkata undang-undang dibentuk untuk membantu minoriti-minoriti tertindas dari Afghanistan, Bangladesh, dan Pakistan.

Mutakhir ini, beberapa pemimpin dari parti pemerintah menyeru tindakan terhadap penunjuk perasaan yang menentang undang-undang itu, yang mereka tuduh sebagai tidak patriotik.

Menteri muda kewangan, Anurag Thakur minggu ini mengalakkan penyokong pada satu himpunan pilihan raya di New Delhi supaya melaungkan slogan menyeru pengkhianat ditembak. Dia ditegur oleh suruhanjaya pilihan raya India.

Beberapa jam selepas kejadian tembakan itu, sekumpulan orang berjalan melepasi rumah remaja itu di Jewar, sambil melaungkan slogan-slogan Hindu sebagai tanda sokongan kepada tindakannya.

Di 2 akaun Facebook miliknya, yang sudah diturunkan oleh syarikat itu, dia menyeru orang Hindu supaya bersatu. Beberapa catatan memaparkan dia bergaya dengan senjata, menurut semakan profilnya oleh Reuters sebelum ia dikeluarkan.

Polis, yang sedang menahan remaja itu, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai siasatannya.

Pada Mac 2018, remaja lelaki itu meminta rakan-rakannya melalui Facebook supaya menyertai pertemuan Bajrang Dal, satu kumpulan Hindu haluan keras yang ada kaitan dengan parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata. Beberapa hari kemudian, dia berkongsi gambarnya di pertemuan itu.

Praveen Bhati, seorang pemimpin Bajrang Dal tempatan, menafikan remaja itu ahli kumpulan itu.

Beberapa rakan sekelasnya sedar tentang sokongannya kepada nasionalisme Hindu sejak sekurang-sekurangnya 3 tahun lalu, sebahagiannya berdasarkan catatan di media sosial.

Rakan-rakan sekelasnya berkata dia memuja aktivis haluan kanan, Deepak Sharma, yang dituduh polis menimbulkan keganasan terhadap pelajar dari Afghanistan di sebuah universiti di utara India pada 2018.

Sekurang-kurangnya 2 profil media sosial remaja itu – di Facebook dan WhatsApp – memaparkan gambar Sharma.

Sharma berkata dia ingat pertemunanya dengan remaja itu dan cam sekeping gambar bersamanya.

“Saya tidak berhubung dengannya,” kata Sharma kepada Reuters, dan menambah dia sudah meninggalkan aktivisme.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.