
Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata mereka harus diberi peluang untuk menjalankan pemeriksaan untuk membela diri terhadap barangan yang dirampas itu.
Beliau berkata kebimbangan keselamatan di pihak kerajaan boleh ditenangkan kerana pemeriksaan boleh dijalankan di premis bawah kawalannya.
“Saya juga tak faham bagaimana pengeluaran barang-barang itu akan menyebabkan kemerosotan barang berharga,” katanya.
Zaini menetapkan syarat bahawa pemeriksaan mesti dijalankan di premis yang ditetapkan kerajaan dan hanya pemohon boleh berada di situ dengan pengawasan.
Beliau berkata hanya seorang peguam boleh bersama setiap seorang pemohon.
“Pemeriksaan hanya boleh dibuat sekali dalam tempoh 2 minggu akan datang dan kemudian pemohon membuat afidavit kepada mahkamah,” katanya.
Beliau berkata sama ada sitaan barang-barang itu bermerit akan ditentukan selepas penghujahan oleh pihak-pihak terlibat.
Najib, isterinya Rosmah Mansor dan anak mereka Nooryana Najwa membuat permohonan penzahiran itu susulan saman pelucuthakan oleh kerajaan terhadap ratusan barang-barang yang dirampas dari 3 premis yang dikaitkan dengan keluarga itu selepas pilihan raya umum ke-14.
Pihak pendakwaan bersetuju menyediakan gambar-gambar berwarna barang-barang dirampas itu, serta gambaran terperinci seperti label produk, lambang, kad hadiah, dan bungkusan.
Antara barang-barang itu adalah 315 beg tangan pelbagai jenama mewah, 14 jam, dan 27 pasang kasut pelbagai jenama, serta wang tunai pelbagai mata wang, termasuk RM537,000, £2,700, LKR2,870,000, RM187,750 wang lama, dan £320,500.
Najib, Rosmah, dan Nooryana membuat permohonan penzahiran pada 18 Julai tahun lepas memohon untuk dibenarkan memeriksa secara fizikal barang-barnag yang dirampas polis.
Mereka mendakwa gambar barang-barang yang disediakan pendakwaan itu “tidak jelas”.
Mereka membuat permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kotak-kotak, beg-beg tangan, dan bekas yang dirampas dikeluarkan daripada bungkusan asal dan ini menyebabkan kekeliruan dalam proses pengenalpastian.