Laporan: Hakim larang media namakan bekas pegawai MCMC didakwa pecah amanah

Laporan: Hakim larang media namakan bekas pegawai MCMC didakwa pecah amanah

Akhbar Daily Express berkata, ia tidak berniat melindungi identiti tertuduh, tetapi arahan supaya berbuat demikian datangnya daripada hakim Mahkamah Sesyen.

Akhbar Daily Express berkata, arahan hakim boleh menjadi satu duluan.
PETALING JAYA:
Sebuah akhbar Sabah mempersoal keputusan seorang hakim Mahkamah Sesyen melarang media daripada mendedahkan nama bekas seorang pegawai tinggi kerajaan yang berdepan tuduhan pecah amanah jenayah.

Dalam seksyen surat kepada editornya, akhbar Daily Express menjawab pertanyaan kenapa ia gagal menamakan bekas timbalan pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) cawangan Sabah dan Labuan yang berdepan 6 pertuduhan menyalahgunakan harta yang diamanahkan kepadanya melibatkan jumlah RM17,930.

Menurut laporan akhbar tersebut bertarikh 23 Jan, timbalan pengarah tersebut, seorang wanita berusia 40 tahun, mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat terhadap semua pertuduhan ke atasnya.

Wanita berkenaan dituduh menyalahgunakan wang bagi menganjur dan menyusun program di 6 sekolah antara 15 Jan dan 27 Feb 2017 di pejabat MCMC di Menara MAA.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan boleh dijatuhi hukuman penjara antara 6 bulan hingga 5 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Akhbar itu berkata, ia tidak berniat melindungi identiti tertuduh, tetapi arahan supaya berbuat demikian datangnya daripada hakim Mahkamah Sesyen terbabit.

Ia berkata, hakim membuat keputusan itu atas alasan pendedahan identiti tertuduh adalah tidak adil ke atas anak wanita berkenaan yang masih bersekolah.

Akhbar itu berkata, ia mendapati arahan itu “pelik” dan menyuarakan kebimbangan bahawa ia boleh menjadi satu duluan yang membolehkan hakim mengarahkan media supaya tidak mendedahkan identiti individu yang berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.