Ahli boleh cabar kemenangan calon tanpa bertanding jika tidak puas hati, kata PPBM Kelantan

Ahli boleh cabar kemenangan calon tanpa bertanding jika tidak puas hati, kata PPBM Kelantan

Bantahan boleh dibuat sehingga 14 Feb, sebelum jawatankuasa pemilihan menimbangkan rayuan tersebut.

Ketua penerangan PPBM dan juga timbalan menteri hal ehwal ekonomi Radzi Jidin menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian PPBM Ketereh, Kelantan.
PETALING JAYA:
Mana-mana ahli PPBM yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tanpa bertanding majoriti pemimpin tertinggi parti itu sebagai ketua bahagian perlu mengemukakan bantahan kepada pihak jawatankuasa pemilihan.

Timbalan pengerusi PPBM Kelantan, Sazmi Miah berkata, bantahan sama juga boleh dibuat bagi mencabar kemenangan tanpa bertanding Radzi Jidin sebagai ketua bahagian Ketereh.

“Ruang bantahan masih dibuka sehingga 14 Feb untuk bantahan terhadap calon yang telah diluluskan bertanding, termasuk yang diumum menang tanpa bertanding.

“Pihak jawatankuasa pemilihan peringkat pusat akan membuat penilaian. Berdasarkan keputusan yang dibuat sebelum ini oleh jawatankuasa pemilihan mendapati hanya Radzi yang layak bertanding,” katanya kepada FMT selain memaklumkan bahawa bantahan sama juga boleh dibuat oleh ahli yang tidak berpuas hati dengan pencalonan perwakilan di bahagian Pasir Mas.

Sazmi mengulas kenyataan calon ketua bahagian Ketereh, Uzair Yusof yang mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Pemilihan PPBM mengisytiharkan Radzi yang juga penyandang ketua bahagian itu menang tanpa bertanding.

Katanya, tanpa sebarang penjelasan lanjut jawatankuasa pemilihan juga seolah-olah mengabaikan pencalonan yang dikemukakannya pada 26 Jan lalu.

Sazmi Miah.

Uzair yang ditolak pencalonanya sebelum ini berkata, keputusan untuk bertanding bagi merebut jawatan ketua bahagian daripada Radzi dibuat atas permintaan ahli akar umbi yang mahu melihat perubahan dalam petadbiran dan jentera peringkat bahagian.

“Kita dengar dan lihat rungutan jentera di peringkat akar umbi yang mahu perubahan digerakkan segera, lebih-lebih lagi PPBM adalah salah satu parti yang mentadbir negara.

“Walaupun penyandang ketua bahagian seorang timbalan menteri, kita lihat beliau tidak mampu menjaga dan menyelia pentadbiran parti dengan berwibawa. Ini menyebabkan parti tidak berkembang dengan baik,” kata Uzair.

Radzi yang juga ketua penerangan PPBM pusat adalah antara pimpinan tertinggi parti yang diumumkan memenangi jawatan ketua bahagian tanpa bertanding.

Selain Ketereh yang menerima bantahan kemenangan ketua bahagian, ahli kawasan Pasir Mas juga turut membuat bantahan mendesak jawatankuasa pemilihan parti itu mengambil tindakan
tegas terhadap 3 calon pimpinan yang didakwa melanggar etika pemilihan, termasuk memboikot calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Mengulas kritikan yang dibuat Uzair terhadap Radzi atas dakwaan tidak mampu menjaga bahagian, Sazmi berkata, ia lebih kepada isu peribadi.

“Saya berpandangan kritikan ke atas prestasi Radzi sebagai timbalan menteri itu hanya rakyat boleh menilai dan setakat ini penilaian dibuat adalah memuaskan. Cuma mungkin ada sesetengah pihak atau individu yang tidak berpuas hati. Itu mungkin soal peribadi.

“Dari segi keseluruhan, prestasi beliau baik tidak menjadi masalah kepada PPBM Kelantan, malah menaikkan lagi nama parti negeri,” katanya.

Mengulas perjalanan pemilihan parti itu di Kelantan, beliau berkata, keadaan ketika ini masih terkawal dan tidak wujud kempen yang melampaui batas.

“Isu besar tidak nampak, cuma isu-isu kecil itu biasa bila bertanding,” katanya yang bertanding mempertahankan jawatan ketua bahagian Machang dalam pertandingan 3 penjuru.

Pemilihan PPBM peringkat cawangan bermula 15 Feb hingga 28 Mac ini, bahagian mulai 18 April dan Perhimpunan Agung pada 25 hingga 28 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.