
Ahli politik dan pemerhati menggesa tindakan tegas diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff percaya ada dalang di sebalik insiden itu dan pihak terbabit perlu didakwa mengganggu ketenteraman.
Beliau memberitahu FMT mengganggu seseorang makan malam bukan budaya rakyat Malaysia.
Jumaat lalu, kira-kira 200 individu berbaju hitam dan merah mencetuskan kekecohan di luar sebuah restoran di Ulu Tiram, Johor ketika Pemuda PPBM mengadakan program rapat umum di sana.
Kumpulan itu dilapor mengeluarkan kata-kata kesat, lucah dan ugutan serta mendesak Syed Saddiq keluar dari Johor.
Ahli Parlimen Muar itu terpaksa memanjat pagar untuk keluar dari restoran itu, manakala yang lain cuba mengalihkan perhatian kumpulan kira-kira 200 individu terbabit.
Susulan itu, polis menahan 2 lelaki yang disyaki dalang insiden itu dan siasatan dijalankan di bawah Sekyen 153, 355, 357 dan 506 Kanun Keseksaan kerana memulakan provokasi, serangan dan menakutkan seseorang secara jenayah.
Sebuah pasukan petugas turut ditubuhkan untuk menyiasat kes itu.
Iri hati politik
Seorang lagi penganalisis politik dari UUM, Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata insiden provokasi dan kekecohan itu berlaku mungkin disebabkan iri hati politik.
Katanya, Syed Saddiq dilihat sebagai pendebat bagus dan inspirasi kepada belia.
“Beliau juga rapat dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
“Dalam politik, apabila ada orang seperti itu, akan timbul iri hati dalam parti atau pihak pembangkang.”
Katanya, Syed Saddiq juga “cepat menangkap” walaupun berdepan cabaran sebagai menteri belia dan sukan pada usia muda.
Tetapi katanya, beliau memerlukan bimbingan Mahathir untuk mencapai kematangan politik ketika PPBM sedang mengadakan pemilihan parti pertama yang akan menyaksikan berlaku perebutan jawatan.
Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, populariti Syed Saddiq dalam kalangan anak muda ialah ancaman kepada ahli politik lain dan beliau juga seorang “influencer” kerana mempunyai lebih sejuta pengikut di media sosial.
“Apabila beliau bercakap sesuatu, ia demi kebaikan belia dan rakyat. Beliau bersikap terus-terang. Beliau ialah ahli politik berbeza,” katanya kepada FMT.
Tetapi, beliau berkata, pencapaian Syed Saddiq menjadikan beliau sasaran mudah pembangkang yang menyerangnya kerana ideanya “lain daripada yang lain”.
“Tetapi, beliau berani berkongsi ideanya. Kita memerlukan ahli politik seperti ini.”
Sumber PPBM menyifatkan insiden provokasi dan kekecohan itu “keadaan menyedihkan bagi belia dalam politik”.
Katanya, dasar belia untuk mengukuhkan hak demokratik melalui program seperti Undi 19, peruntukan RM6.45 bilion untuk program Malaysia @Work bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia dan dasar ekonomi gig “tidak setanding idea lebih baik dan hujah intelektual, tetapi tindakan samseng”.
“Ketika Syed Saddiq meneruskan perjuangan di Parlimen, samseng dan gengster dari generasinya yang tidak setanding kepandaiannya, mengheret beliau ke jalanan untuk mencekiknya.
“Apabila beliau mahu menghabiskan masa dengan keluarga, rakan dan pengikutnya dalam semangat perpaduan belia, samseng memaksanya memanjat pagar.”
Sumber itu berkata, Jumaat lalu, akhbar Britain The Independent melaporkan kenyataan Syed Saddiq mengenai perubahan iklim “yang sepatutnya memulakan pertukaran idea sihat di Malaysia sekarang mengenai isu global mendesak ini”.
“Tetapi, tindakan samseng itu menyekat perbincangan kami hari ini untuk mengejek Syed Saddiq terpaksa memanjat pagar bagi mengelak gengster.
“Siapa yang menyokong serangan ini secara misteri? Kenapa pihak berkuasa tidak bertindak untuk menyuraikan kumpulan individu itu yang mengganggu ketenteraman awam?”
Katanya, masa depan generasi muda di Malaysia suram, jika keganasan dan tindakan samseng ialah alternatif kepada sesuatu dasar dan kepimpinan belia berdasarkan penyelesaian.
Beliau berkata, “sejarah menunjukkan mata pena lebih tajam daripada pedang dan kebijaksanaan mengalahkan kekejaman”.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata gambar Syed Saddiq memanjat pagar untuk mengelak kumpulan kira-kira 200 individu itu ialah “imej yang memberi kesan dan membangkitkan banyak persoalan”.
“Di mana pengawal peribadinya? Siapa yang mengetuai protokol keselamatannya dan kenapa Syed Saddiq perlu melarikan diri, kerana takut nyawanya terancam?
“Lebih penting lagi, di mana polis? Gembira mendengar mereka sudah menahan 2 lelaki dipercayai bertanggungjawab menakutkannya, tetapi itu tidak mencukupi.”
Katanya, polis perlu mencari dalang dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador “perlu mendedahkan maklumat itu selepas mempunyai jawapannya”.