AirAsia nafi dakwaan dirasuah Airbus untuk kontrak beli pesawat

AirAsia nafi dakwaan dirasuah Airbus untuk kontrak beli pesawat

Syarikat penerbangan itu berkata, setiap pembelian pesawat tidak pernah diputuskan mana-mana individu, sebaliknya ia dibuat ahli lembaga pengarah menerusi keputusan kolektif selepas mengambil kira beberapa faktor.

AirAsia berkata, ia akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan pihak berkuasa berkaitan yang menyiasat dakwaan rasuah membabitkan Airbus dan 2 eksekutifnya.
PETALING JAYA:
AirAsia menafikan sebarang salah laku berhubung dakwaan rasuah membabitkan Airbus dan 2 eksekutifnya.

Katanya, setiap pembelian pesawat tidak pernah diputuskan mana-mana individu secara bersendirian, sebaliknya ia dibuat ahli lembaga pengarah menerusi keputusan kolektif selepas mengambil kira beberapa faktor, termasuk prestasi penerbangan pesawat.

“AirAsia menolak dan menafikan sekeras-kerasnya sebarang dan semua dakwaan salah laku,” kata syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam kenyataan semalam.

“Kami ingin menekankan setiap rundingan dan urusan yang membawa kepada pemeteraian perjanjian pembelian pesawat dilakukan secara langsung dengan Airbus, dilaksanakan secara saksama tanpa membabitkan pihak ketiga atau perantara.”

Semalam, akhbar Britain The Telegraph melaporkan 2″eksekutif” AirAsia dan AirAsiaX disebut dalam dokumen undang-undang yang menyenaraikan insiden rasuah Airbus untuk mendapatkan kontrak melalui orang tengah korup bagi menjual pesawatnya di seluruh dunia.

Dokumen itu sebahagian daripada penyelesaian berbilion dolar dengan pihak berkuasa anti-rasuah di Britain, Perancis dan Amerika Syarikat, selepas pembuat pesawat Eropah itu mengakui “beberapa peringkat amalan rasuah dalam perniagaan antarabangsanya”.

Memetik dokumen dilampirkan kepada penyelesaian itu, The Telegraph melaporkan Airbus membayar AS$50 juta (RM204 juta) dan menawarkan AS$55 juta (RM225 juta) untuk menaja sebuah pasukan sukan yang dikaitkan dengan 2 “pembuat keputusan utama” yang tidak dinamakan di AirAsia dan AirAsiaX.

SPRM kemudiannya mengesahkan ia sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan rasuah itu dan berhubung dengan pihak berkuasa UK.

AirAsia berkata, ia sedang memantau perkembangan itu dan akan mengkaji semula “sebarang dakwaan atau kesimpulan negatif membabitkan atau menjejaskan AirAsia atau mana-mana eksekutifnya”.

Ia juga akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan pihak berkuasa berkaitan.

Katanya, ia sedar hubungan antara syarikat itu dengan Airbus yang terjalin lebih sedekad lalu, dilaporkan media “tanpa konteks atau ulasan tepat”.

“Dan kami bimbang pandangan mengenai perkara itu mungkin dibuat secara tidak adil dan tidak matang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.