
Nik Abdul Aziz Nik Hassan yang menganggotai G25 terdiri daripada bekas penjawat awam kanan beragama Islam untuk mempromosi kesederhanaan, berkata pengkritik tidak memahami sifat bukan teologi laporan itu.
“Melalui kritikan, mereka membayangkan buku itu menyerang Islam dan undang-undangnya. Mereka gagal melihat tema buku itu,” katanya yang mempunyai susur-galur cendekiawan Islam tradisional di Kelantan kepada FMT baru-baru ini.
Laporan “Administration of Matters Pertaining to Islam” setebal 200 halaman yang dikeluarkan pada 11 Jan lalu menilai cara pihak berkuasa menguruskan hal ehwal Islam melalui pelbagai agensi dan undang-undang.
Tetapi, kritikan terhadap penggunaan undang-undang murtad di bawah enakmen syariah negeri dikecam sesetengah pihak, termasuk Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang melabelkan G25 “lebih berbahaya daripada kumpulan militan al-Maunah” serta mereka “bodoh dan bebal” dalam hal ehwal Islam.
Nik Aziz yang menulis kertas kerja dan buku mengenai sejarah ilmiah Islam di rantau Melayu, berkata komen itu tidak bertanggungjawab kerana ahli G25 terdiri daripada individu terdedah kepada karya cendekiawan Islam utama dari seluruh dunia.
“Jadi, untuk kata kita tidak celik Quran salah sama sekali dan sangat tidak adil,” kata cucu arwah Wan Musa Abdul Samad yang pernah menjadi mufti Kelantan dari 1909 hingga 1916.
Walaupun dianggap tradisionalis, Wan Musa terkenal dengan pandangan reformisnya mengenai Islam dan dianggap antara kumpulan awal ulama progresif.

Nik Aziz bukannya ulama, tetapi beliau tersinggung dengan kenyataan Hadi.
“Untuk kata saya jahil Quran sama sekali, saya rasa sangat tersinggung.”
Katanya, pendirian mengenai murtad hanya sebahagian daripada isu lebih besar dan masalah dalam pentadbiran Islam di Malaysia selama berdekad seperti dinyatakan dalam laporan G25.
Beliau berkata, ramai pengkritik G25 nampaknya tidak menghargai sejarah Islam dalam penyesuaian terhadap pandangan berbeza menyebabkan mereka menghina pihak yang mempunyai pendapat berlainan.
Katanya, perdebatan mengenai murtad di Malaysia berpunca daripada kejahilan mengenai sejarah awal Islam.
Beliau memberi contoh kenyataan Mufti Perak, Harussani Zakaria yang murtad ialah jenayah serius kerana khalifah pertama Abu Bakr yang melancarkan perang ke atas golongan murtad.
Nik Aziz berkata, kenyataan seperti itu mengabaikan konteks sejarah.
“Secara teknikalnya, anda mengelirukan minda umat Islam lain, ironinya inilah tuduhan yang dilempar kepada kami.”
Katanya, tindakan khalifah itu menyasarkan individu enggan membayar zakat kepada Madinah yang dianggap satu bentuk pengkhianatan ketika itu.
“Dalam konteks ini, Khalifah Abu Bakr terpaksa mengambil tindakan tegas,” kata Nik Aziz yang juga bekas pensyarah sejarah Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia.
G25 dalam laporannya berkata, pelaksanaan undang-undang murtad di bawah syariah akan menimbulkan masalah birokrasi dan perlembagaan.
Katanya, menghukum umat Islam yang murtad bertentangan kebebasan memilih dalam semangat Islam dan topik itu masih menjadi perdebatan di kalangan pakar undang-undang Islam.
“Oleh itu, umat Islam boleh memilih keluar daripada Islam. Ia bukannya hak, tetapi seorang individu membuat pilihannya. Meninggalkan Islam ialah tindakan yang dikesali. Seorang umat Islam yang membuat pilihan itu perlu dipujuk untuk kekal dengan Islam.
“Tetapi, jika beliau berkeras meninggalkan Islam, itu antara beliau dan Tuhan. Tiada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam Quran,” menurut laporan berkenaan.
Nik Aziz berkata, ada keperluan untuk membandingkan contoh murtad di Malaysia bagi menilai sama ada ia perlu dihukum.
Katanya, statistik kerajaan menunjukkan kebanyakan mereka yang murtad ialah mualaf.
“Jika tiada implikasi kepada negeri, biarkanlah. Kita tidak boleh menghalang mereka, khasnya jika mereka berkeras mahu keluar Islam selepas diberikan kaunseling.”
Beliau berkata, G25 bukan mempertikaikan pendirian teologi murtad ialah dosa besar.
Tetapi, katanya, memaksa seseorang terus kekal dengan agamanya ialah usaha tidak produktif untuk mempromosi Islam.
Beliau berkata, umat Islam atas nama saja mungkin mensabotaj agama itu.
“Ia seperti mengekalkan seorang pemain bola sepak yang tidak berminat bermain untuk sebuah kelab. Dia mungkin menyebabkan pasukannya kalah.”