Pelajar perlu kuasai BI sebelum laksana PPSMI, kata Pemuda PAS

Pelajar perlu kuasai BI sebelum laksana PPSMI, kata Pemuda PAS

Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata, kerajaan juga perlu mengkaji punca pelajar sukar menguasai bahasa Inggeris.

Khairil Nizam Khirudin mencadangkan kerajaan menyediakan prasarana dan guru mencukupi di sekolah luar bandar sebelum memperkenalkan semula PPSMI.
KUALA LUMPUR:
Pemuda PAS menggesa kerajaan memperkasakan subjek bahasa Inggeris supaya pelajar dapat menguasai bahasa antarabangsa itu, bukannya memperkenalkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata, kerajaan juga perlu mengkaji punca pelajar sukar menguasai bahasa Inggeris.

“Kita secara konsisten tegaskan tidak setuju dengan PPSMI. Kalau nak perkasakan bahasa Inggeris, kenapa tidak perkasakan subjek bahasa Inggeris sendiri?

“Kalau penguasaan (bahasa Inggeris) rendah, kaji balik kenapa dan apa menyebabkan perkara itu berlaku,” katanya pada sidang media hari ini.

PPSMI mula dilaksanakan pada 2003 selepas diluluskan pada Julai 2002 di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, tetapi ia dimansuhkan pada 2012 susulan protes guru dan pertubuhan Melayu.

Kerajaan kemudiannya memperkenalkan Program Dwibahasa (DLP) yang membabitkan 22,960 pelajar sekolah rendah dan menengah sehingga November 2018.

Semalam, Mahathir mengumumkan pembelajaran sains dan matematik akan kembali kepada bahasa Inggeris dalam usaha menggalakkan penggunaan dan penguasaan bahasa itu dalam kalangan rakyat.

Hari ini, Khairil mencadangkan kerajaan menyediakan prasarana dan guru mencukupi di sekolah luar bandar sebelum melaksanakan semula PPSMI.

Ini kerana katanya, kebanyakan sekolah di luar bandar perlu dilengkapi kemudahan internet sebagai alat bantuan pengajaran.

“Kita harapkan pertama Kementerian Pendidikan perkasakan prasarana. Kalau boleh semua sekolah di luar bandar dapat (kemudahan internet),”

Himpunan bantah pelan damai AS

Khairil berkata, Pemuda PAS akan mengadakan perhimpunan aman di luar Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat depan untuk membantah Pelan Damai Timur Tengah yang diumumkan Presidennya, Donald Trump.

“Selasa ini pula akan hantar memorandum ke Kedutaan AS bagi menyatakan bantahan pelan damai itu.”

Pelan Damai Timur Tengah Trump yang diumumkan 29 Jan lalu mencadangkan penyelesaian “2 negara” dan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai “ibu negara Israel tidak dibahagikan”.

Mercedes jadi kereta rasmi MB Kelantan

Khairil berkata, Pemuda PAS mempertahankan tindakan kerajaan Kelantan membeli Mercedes Benz untuk kegunaan menteri besar Kelantan, exco dan pegawai kerajaan negeri itu.

“Kereta tersebut dipakai sejak 2007 lagi dan sekarang berlaku penukaran secara berperingkat dan kereta terakhir adalah kereta menteri besar,” katanya sambil menambah keputusan menukar kenderaan rasmi MB kepada Mercedes Benz dibuat sejak 2018 lagi.

Beliau turut menafikan pembelian kereta mewah itu menggunakan RM400 juta peruntukan khas yang diberikan Putrajaya.

Katanya, kerajaan Kelantan mencatat lebihan perbelanjaan sejak 2017.

“Tutup akaun pada 31 Dis setiap tahun ada lebihan bajet. Mana negeri yang bajet tahunannya ‘surplus’.

“Jadi, jangan mengatakan yang duit ini diambil daripada RM400 juta yang diberikan kerajaan, iaitu duit royalti minyak.”

Pada 4 Jan lalu, Harakah Daily melaporkan kerajaan Kelantan mencatat lebihan perbelanjaan berbanding belanjawan buat 3 tahun berturut-turut sejak 2017 (RM38.2 juta), diikuti RM40.4 juta (2018) dan RM45 juta tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.