
Kamalanathan berkata, Kementerian Pendidikan perlu mengkaji mengapa polisi yang diperkenalkan pada 2003 ini dimansuhkan pada 2012.
Baginya, sebarang polisi diperkenalkan Putrajaya tidak seharusnya bersifat sementara.
“Sebab polisi ini dimansuhkan buat kali pertama perlu dikaji secara mendalam dan polisi ini seharusnya hanya dilaksanakan apabila semua masalah dan jurang yang dihadapi dapat diatasi.
“Bahkan, penglibatan secara mendalam pemegang taruh perlu diadakan secara komprehensif bagi memastikan mereka nampak kepentingan dan kewajaran polisi dan menyokong perubahan yang dilakukan. Ini antara kunci untuk menjadikan sesebuah polisi berjaya.
“Langkah ini memang akan memakan masa dan kementerian seharusnya diberikan cukup masa untuk menganalisis dan menilai secara holistik dan komprehensif serta menyelesaikan semua isu supaya pada masa depan, polisi ini tidak akan dimansuhkan kembali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahathir berkata, bahasa pengantar untuk mata pelajaran sains dan matematik akan kembali ke bahasa Inggeris dalam usaha untuk menggalakkan penggunaan dan penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau, yang juga pemangku menteri pendidikan menekankan pentingnya menguasai bahasa Inggeris dan menambah bahawa kedua-dua mata pelajaran itu bukan “asal” kepada Malaysia.
Kamalanathan berkata, terdapat beberapa faktor menyebabkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan sebeum ini tidak berhasil, antaranya guru masih tidak bersedia untuk mengajar dalam bahasa Inggeris.
“Antara sebab utama adalah disebabkan guru-guru yang mengajar mata pelajaran sains dan matematik tidak cukup mahir untuk mengajar subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris.
“Kita tidak mempunyai guru bahasa Inggeris yang mengajar matematik dan sains atau guru lulusan sains dan matematik mengajar dengan baik dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Dasar pendidikan negara menyaksikan beberapa pertukaran ketara, termasuklah berhubung dasar PPSMI.
Pada 2009, apabila Muhyiddin Yassin menjadi menteri pendidikan, dasar itu dimansuhkan. Dasar berkenaan dicetuskan Mahathir ketika menjadi perdana menteri pada 2003.