
Katanya, polis sedang mengusahakan pertemuan antara pihak Indira dan pihak lelaki itu, Ridhuan Abdullah, untuk merungkai masalah ini dan menjaga kebajikan Prasana Diksa.
Beliau mengingatkan Indira dan Ridhuan masing-masing ada hak di sisi undang-undang, dan tidak mahu kebajikan Prasana terabai kerana perebutan itu.
“Masyarakat tak tahu di mana, saya tahu di mana. Itu sebab usaha dijalankan untuk berunding. Sila tampil.
“Kita selesaikan supaya dia dapat duduk dalam negara kita ini, anak-anak dapat pendidikan yang sempurna. Tak payah menyorok-nyorok lagi,” katanya kepada pemberita pada satu majlis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.
Indira, seorang wanita Hindu, dianugerahkan hak menjaga Prasana tetapi perempuan itu dibawa lari Ridhuan.
Dia memeluk Islam pada 2009 sebelum menukar agama 3 anak mereka tanpa izinnya – langkah yang Mahkamah Persekutuan isytiharkan ditegah undang-undang pada 2018.
Mahkamah Persekutuan pada 2016 memerintahkan polis menahan Ridhuan dan memulangkan Prasana yang dibawa lari semasa berusia 11 bulan pada 2009.
Pada Selasa, satu kumpulan sokongan, Indira Gandhi Action Team (INGAT) berkata tiada rekod kerajaan tentang Prasana seperti rekod imunisasi dan pendaftaran sekolah, dan mengancam saman RM100 juta terhadap Hamid sekiranya polis gagal menjelaskan kenapa Prasana belum dapat dikesan dan disatukan dengan ibunya.
Hamid ketika mengulas perkembangan itu berkata polis sedang mengusahakan penyelesaian “happy ending”, tetapi peguam Indira berkata tidak ada keperluan mengusahakan suatu “win-win” kerana Mahkamah Persekutuan sudah memerintahkan KPN dan polis menahan Ridhuan dan memulangkan Prasana kepada ibunya.
“Saya juga prihatin tentang perasaan seorang ibu yang tidak dapat jumpa anaknya sekian lama. Saya faham. Itu sebabnya saya ambil pendekatan secara diam-diam. Saya buat kerja,” kata Hamid kepada pemberita hari ini.
“Insya-Allah, saya tak boleh kata 1 bulan, 2 bulan, tapi saya berusaha, dan nampaknya usaha ini semakin hari semakin…jadi sabar sikit lagi,” tambahnya.