
Sekretariat kumpulan itu berkata syarikat-syarikat penerbangan tidak boleh mendedahkan anak-anak kapal dan juruterbang kepada risiko wabak yang serius.
“Nyawa anak kapal dan penumpang juga harus menjadi keutamaan…kita faham wabak ini akan menjejaskan ekonomi perniagaan tetapi adakah kita ada pilihan?” katanya dalam kenyataan.
Nufam mengingatkan koronavirus merebak dengan pantas dan bimbang lebih ramai akan dijangkiti. “Kenapa syarikat-syarikat penerbangan masih berbalah mengenai masalah ini?”
Nufam berkata banyak syarikat penerbangan sudah menghentikan penerbangan ke China dan jika semua syarikat berbuat demikian, ia boleh memperlahankan penularan virus itu.
Katanya, penumpang yang membawa virus itu ada kemungkinan tinggi menjangkiti penumpang lain apabila mereka terbang bersama selama beberapa jam.
Syarikat boleh melengkapkan pesawat dengan penapis udara berzarah kecekapan tinggi (Hepa), tetapi ia menelan kos yang tinggi, katanya.
“Oleh itu, lebih murah dan berkesan untuk menghentikan penerbangan ke destinasi di China sehingga keadaan menjadi reda,” katanya.
Nufam mendakwa terdapat ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan kakitangan dan keluarga mereka tetapi mereka tidak menyampaikannya kepada syarikat.
“Jadi mereka mengadu kepada kami,” katanya.
Nufam juga menggesa kerajaan pertimbangkan untuk menggantung semua penerbangan dari China sebagai langkah kawalan susulan pengisytiharaan darurat kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia hari ini.
Sementara itu, kesatuan sekerja di Australia juga mengancam kakitangan keselamatan akan henti bekerja jika syarikat lapangan terbang tidak mahu melindungi kakitangan daripada koronavirus, kata laporan News.com.au.
United Workers Union (UWU) menuduh syarikat lapangan terbang memberitahu kakitangan tidak boleh memakai pakaian perlindungan di tempat kerja kerana ia akan menyebabkan penumpang “tidak selesa”.
“Dalam beberapa kes, pekerja yang meminta untuk memakai topeng diancam dengan tindakan tatatertib,” katanya dalam kenyataan.
Turut menjadi isu adalah akses kepada barang keperluan kebersihan diri asas seperti sabun.
“Adalah mengejutkan dan berbahaya apabila keselamatan kakitangan lapangan terbang tidak diutamakan kerana majikan bimbang pelanggan akan jadi takut,” kata jurucakap UWU, Damien Davie.
Di Amerika Syarikat, kesatuan juruterbang American Airlines menyaman American Airlines bagi memaksa penggantungan penerbangan antara AS dan China, kata laporan CBS News.
Syarikat itu sekarang ini mengendalikan 56 penerbangan setiap bulan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas/Forth Worth (DFW) di Texas dan lapangan-lapangan terbang di China.
Airline Pilots Association (APA) berkata meneruskan penerbangan antara DFW dan Beijing dan Shanghai mendedahkan kakitangan kepada risiko, menyatakan anak kapal dalam penerbangan di China dikehendaki berada di lapangan selama kira-kira 32 jam antara penerbangan bagi memenuhi keperluan-keperluan rehat.
Ia juga memetik garis panduan Centers for Disease Control and Prevention mengenai koronavirus, yang tidak mengalakkan “penerbangan tidak penting” ke China.
Syarikat penerbangan utama lain, seperti United, Finnair, Cathay Pacific, dan Jetstar Asia sudah mengumumkan pengurangan penerbangan ke China.
British Airways, Air Canada, dan Lufthansa sudah menggantung semua penerbangan ke dan dari China.
“Kepimpinan APA meminta pengurusan American Airlines mengikut langkah itu, tetapi sehingga kini mereka tidak membatalkan sebarang penerbangan AS-China. Oleh itu, kami terpaksa memohon relif injunksi,” kata Presiden APA, Eric Ferguson dalam kenyataan.