
Kebimbangan melampau menyebabkan penduduk di China mengambil pelbagai tindakan drastik bagi melindungi diri daripada dijangkiti wabak koronavirus yang sehingga kini telah mengorbankan 170 orang.
Ada di antara mereka yang menyarung botol plastik di kepala semata-mata untuk melindungi diri masing-masing.
Ada yang berjalan dengan dibungkus plastik dan tidak kurang yang membuat topeng muka sendiri kerana tidak yakin dengan topeng biasa di pasaran.
Daily Mail melaporkan, beberapa gambar tersebar di media sosial menunjukkan tindakan terdesak beberapa individu untuk mengelakkan diri daripada jangkitan virus itu.

Seorang penumpang, Marina Jambrina memaklumkan Western Australian, kebanyakan
penumpang pesawat menggunakan topeng muka dan sebaik sahaja pesawat tiba di lapangan terbang, petugas akan menyembur dan membersihkan pesawat.
“Ketika berada di Shanghai, saya tidak nampak mana-mana individu tidak memakai topeng muka. Saya tidak pernah melihat keadaan seperti ini dan ia agak menakutkan,” katanya.

Satu keluarga juga kelihatan melindungi diri mereka termasuk bayi dalam stroller dengan plastik di samping topeng muka ketika berbaris di lapangan terbang.
Ini kerana di beberapa bandar di China, topeng muka sudah habis dijual menyebabkan orang awam terpaksa memikirkan cara lain untuk melindungi diri.
Malah kerajaan China juga mengeluarkan amaran tidak membenarkan sesiapa sahaja menggunakan pengangkutan awam jika tidak memakai topeng muka.
Manakala dalam penerbangan dari Shanghai ke Perth, kelihatan seorang lelaki memakai topi keledar sebagai langkah waspada terhadap virus itu.
Malah ketika keluar membeli barang juga mereka memakai botol plastik sebagai perlindungan diri.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]