
Walaupun pemimpin Hong Kong Carrie Lam mengarahkan penggantungan perkhidmatan kereta api laju antara bandar raya itu dengan China bermula tengah malam Khamis serta semua perkhidmatan feri lintas sempadan, kesatuan terbabit berkata ia tidak mencukupi
Rakan sekerja di barisan depan kini panik kerana mereka terdedah kepada risiko tinggi dijangkiti virus itu sewaktu bekerja,” kata Railway Power yang mewakili kira-kira 500 pekerja operator metro MTR Corp.
Gabungan Pekerja Pihak Berkuasa Hospital (HAEA) berkata, ia mengalu-alukan langkah yang diambil oleh kerajaan, tetapi mahu ia menutup keseluruhan sempadan.
Ia juga berkata, mereka akan bermesyuarat bagi membincangkan langkah lanjut yang boleh diambil.
“Jarak kepada matlamat langkah pencegahan besar-besaran bagi mengawal jangkitan masih jauh,” kata kesatuan itu dalam satu kenyataan.
Chris Cheung, bendahari HAEA, yang mempunyai lebih 18,000 ahli berkata, ramai daripada mereka merancang untuk memulakan fasa tindakan mogok minggu depan melainkan tuntutan mereka dipenuhi.
Bekas koloni British itu mengesahkan 10 kes koronavirus dengan seorang pesakit kritikal. Pusat wabak bermula di bandar raya Wuhan di tengah China, di mana dipercayai virus terbabit menjangkiti manusia dari sebuah pasar haram yang menjual haiwan liar.
Kebimbangan mengenai wabak itu tercetus beberapa bulan selepas protes ganas anti kerajaan di Hong Kong susulan kebimbangan bahawa autonomi wilayah itu yang dijamin di bawah formula “satu negara, dua sistem”, dihakis oleh Beijing.
Penunjuk perasaan yang kecewa dengan keengganan kerajaan bertolak ansur terhadap tuntutan demokrasi penuh dalam tempoh beberapa bulan ini mewujudkan kira-kira 40 kesatuan sekerja sebagai satu cara untuk meneruskan kempen mereka dan beberapa belas daripadanya menyokong ancaman mogok HAEA.
Lam berkata, penutupan sempadan adalah “tidak sesuai dan tidak praktikal”.
Ancaman mogok tersebut dibuat sewaktu penduduk Hong Kong berbaris panjang di kedai-kedai bagi mendapatkan topeng muka yang semakin berkurang.
Seorang pelayan, Berry So berkata, beliau beratur dari pukul 2 pagi di luar sebuah kedai.
“Saya menunggu selama 6 ke 7 jam,” katanya yang gagal membeli topeng dikehendakinya.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China berkata pada Khamis bahawa jumlah kematian akibat koronavirus di negara itu meningkat kepada 170 orang, sementara jumlah individu dijangkiti mencecah 7,711 orang.