Semakin maju sektor pelancongan negara, semakin terdedah negara dengan pelbagai ancaman dan penyakit daripada negara luar yang mungkin tidak pernah anda dengari.

Ia perkara normal berlaku kerana membabitkan proses keluar masuk pelancong ke dalam dan luar negara sekaligus menyebabkan penularan penyakit berjangkit di negara kita lebih berisiko tinggi.
Berikut merupakan lima virus yang pernah menggemparkan negara, menimbulkan kebimbangan masyarakat.
1. MERS-CoV
Wabak ini dikesan apabila seorang pesakit berusia 54 tahun pergi ke Jeddah dan apabila pulang ke Malaysia, dia dijangkiti iddle East Respiratory Syndrom atau “Sindrom Pernafasan Akut Timur Tengah”.
Difahamkan ketika mangsa dalam rombongan, dia telah berkunjung ke sebuah kawasan penternakan unta dan minum susu unta yang disediakan.
Selepas pulang, pesakit mula mengalami masalah pernafasan dan cuba mendapatkan rawatan di klinik pada 7 April sebelum meninggal dunia di hospital pada 13 April.

Berikutan daripada kes tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia mula memperkenalkan tatacara dalam mengenalpasti kaedah terbaik menangani wabak ini.
Kes terakhir MERS setakat ini yang direkodkan melibatkan seorang lelaki pada 31 Disember 2017.
2. Wabak Ebola
Wabak ini masih tersebar sehingga kini di beberapa bahagian Afrika, khususnya di beberapa lokasi iaitu Congo dan Uganda.
Kes ini dilihat sentiasa berterusan dilaporkan dan ia tidak pernah berhenti.
Pada 2019, seramai 1500 orang disahkan meninggal dunia kerana wabak ini. Dan disebabkan itu juga, Kementerian Kesihatan memantau kemasukan pelawat dari Congo dan Uganda pada bulan Julai 2019.
3. Virus selesema burung
Dikenali dengan nama virus selesema burung atau “avian influenza” dengan kod H7N9, penyakit ini berpunca dari China selepas ditemui kali pertama pada tahun 2003.
Kes pertama yang dilaporkan berlaku di luar China, malangnya ditemui di negara kita pada tahun 2014.
Seorang wanita berusia 66 tahun dari Guangzhou hadir ke Malaysia bagi tujuan melancong.

Kemudian wanita tersebut mula mengalami demam panas, batuk dan cirit-birit, dan menjalani rawatan di sebuah hospital pakar di Kota Kinabalu dengan degupan jantung yang tinggi sementara tekanan darah yang agak rendah.
Punca jangkitan dipercayai daripada 3 ekor ayam yang disembelih pada 30 Januari 2014.
Dalam tempoh 2013 hingga 2019, seramai 616 orang telah meninggal dunia, kesemuanya di China.
Hanya 3 negara direkodkan pernah menempatkan pembawa virus H7N9 iaitu China, Malaysia dan Kanada.
4. SARS
Sindrom Pernafasan Akut Teruk atau SARS merupakan antara jangkitan wabak paling berbahaya, apatah lagi penyebarannya berlaku secara global pada ketika dunia masih lagi sedang bergelut dengan kemerosotan ekonomi pada tahun 2002.
Dipercayai datang dari Guangdong selepas kematian seorang petani akibat jangkitan pada paru-paru yang belum pernah ditemui pada 16 November 2002, sebelum merebak menjangkiti 305 individu lain dengan 5 kematian pada Februari tahun berikutnya.
Kemudian, seoarang warga Malaysia turut dilaporkan mati selepas pulang dari China pada 30 Mac 2003.
Selepas lebih setahun, China diisytiharkan bebas SARS pada 19 Mei 2004 dan seluruh dunia diiktiraf bebas SARS.
Dengan kadar kematian 1 daripada 10 pesakit dijangkiti, seramai 8,000 orang disahkan mengidapnya dengan 774 kes kematian berlaku.
5. Serangan virus Nipah
Sekiranya keempat-empat wabak yang disenaraikan di atas berpunca dari masyarakat luar, virus Nipah merupakan satu-satunya kes dikatakan bersifat tempatan.
Ini kerana jangkitan yang berlaku merupakan kes unik dan baru, pertama kali berlaku dan semuanya berpusat di Ipoh, Perak.
Penyebaran wabak ini juga mencipta sejarah dalam bidang perubatan kerana menjadi satu-satunya kes di mana manusia dan haiwan, iaitu kelawar dan babi terlibat sama ada sebagai perumah, pembawa dan juga mangsa jangkitan.

Ditemui kali pertama pada penghujung tahun 1998 sebelum merebak ke beberapa negeri lain di Malaysia, pengalaman mengawal virus Nipah banyak meninggalkan kesan pada sistem kawalan wabak negara kita.
Semuanya bermula selepas berjuta ekor babi didapati mengalami demam panas serta masalah pernafasan.
Bimbang dengan apa yang berlaku, kerajaan mengarahkan 1.1 juta babi dibunuh dengan bayaran pampasan sebanyak RM120 seekor diberikan kepada penternak.

618 rumah diarah untuk dikosongkan dan beberapa buah sekolah di sekitar Perak, Selangor dan Negeri Sembilan terpaksa ditutup sementara.
Sebanyak 257 kes jangkitan terhadap manusia direkodkan dengan 115 orang meninggal dunia, selepas mengalami sakit kepala dan demam teruk dalam tempoh 48 jam.
Majoriti yang meninggal dunia direkodkan bekerja dalam sektor penternakan babi komersial.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]