
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kanak-kanak itu yang hanya mengalami demam biasa dan sakit tekak sudah sihat sepenuhnya selepas menerima rawatan di HSNZ.
“Keadaannya stabil dan kita jangka kanak-kanak itu boleh discaj hari ini,” katanya melalui WhatsApp hari ini.
Isnin lalu, media sosial heboh mengenai seorang kanak-kanak warga China yang didakwa dilarikan ibu bapanya dari Hospital Kemaman selepas disyaki dijangkiti koronavirus.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat seorang doktor Hospital Kemaman untuk mengesan kanak-kanak tersebut dan tidak lama selepas itu, dia berjaya ditemui di lokasi projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Kemaman.
Ibu bapa kanak-kanak itu yang merupakan warganegara China adalah pekerja di kawasan projek ECRL Kemaman dan mereka berada di Terengganu sejak awal bulan lalu.
Mereka memberi kerjasama kepada polis untuk membawa kanak-kanak itu ke HSNZ bagi pemeriksaan lanjut dan mendakwa bukan melarikan diri, sebaliknya tidak memahami penerangan doktor disebabkan masalah komunikasi dan bahasa.
Hasil pemeriksaan ke atas kanak-kanak itu mendapati beliau tidak memenuhi kriteria pesakit dalam siasatan (PUI) atau pesakit koronavirus dan pihak hospital memberi rawatan biasa kepadanya.