
“Suspek ditembak mati 2 hari lalu oleh rakan sejawatan Filipina kita,” kata komander Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Hazani Ghazali, yang mengesahkan kejadian itu.
Pada 15 Jan lalu, 5 warga Indonesia – Arsyad Dahlan, 41, La Baa, 32, Riswanto Hayano, 27, Edi Lawalopo, 53, dan Syarizal Kastamiran, 29 – diculik lelaki bersenjata di perairan Tambisan di Lahad Datu.
Dilaporkan 8 individu itu menaiki kapal nelayan yang didaftarkan di Sandakan dan menawan 5 nelayan.
Esscom menerima maklumat mengenai penculikan itu pada hari berikutnya daripada 3 nelayan lain yang melompat ke laut untuk melarikan diri.
Pihak berkuasa mengaitkan penculik itu dengan kumpulan Abu Sayyaf.
Sementara itu, difahamkan 2 suspek terbunuh selepas berbalas tembakan dengan pasukan Filipina di perairan Pulau Jolo, di selatan Filipina.
Menurut sumber, suspek baru saja membebaskan 5 mangsa yang diculik di sebuah pulau yang tidak dinyatakan di selatan Filipina dan menuju ke pulau lain apabila mereka melarikan diri daripada pihak berkuasa.