
Sumber Pemuda PPBM memberitahu FMT, keputusan exco berkenaan menentang Syed Saddiq yang juga merupakan menteri belia dan sukan dibuat selepas melihat tidak banyak perubahan berlaku dalam sayap Pemuda PPBM, yang merupakan salah satu sayap parti berkenaan.
“Pemuda PPBM berada dalam keadaan daif sejak 2 tahun lalu, bukan sahaja dari sudut ekonomi, tetapi tiadanya peluang untuk anggota sayap PPBM itu. Teguran dan nasihat sudah dibuat kepada Syed Saddiq, tetapi masih tidak ada jalan penyelesaian,” kata sumber.
Menurut beliau, sehingga hari ini hala tuju Pemuda PPBM masih samar-samar, khususnya dalam membawa aspirasi membela orang Melayu dan Islam, sehingga timbul persepsi dalam kalangan rakyat bahawa pemimpin PPBM bersifat liberal.
“Keputusan exco berkenaan mahu bertanding juga disebabkan tidak mahu stigma yang dikaitkan dengan Pemuda PPBM terus melekat di hati masyarakat. Selain membantu rakyat, Pemuda PPBM juga perlu dibantu.
“Situasi hari ini ialah ketua Pemuda PPBM bahagian sendiri takut hendak bertemu dengan anak buah. Mereka ini langsung tidak dapat peruntukan daripada pusat untuk melaksanakan program. Bagaimana akar umbi Pemuda PPBM hendak bantu rakyat sedangkan mereka tidak dibantu,” katanya.
Sumber berkenaan berkata, tidak dinafikan Syed Saddiq merupakan pemimpin yang mempunyai pengaruh besar khususnya dalam kalangan anak muda, namun ia bukanlah sebab dan penghalang untuk exco berkenaan mencabar kedudukannya.
“Hari ini ada naratif yang cuba dimainkan, kalau kata Syed Saddiq kalah dia masih menteri. Itu tidak mengapa, niat asal exco berkenaan bertanding adalah untuk mengubah Pemuda PPBM. Kalau hendak jawatan menteri, itu bukan niat kita.
“Kita tahu dia (Syed Saddi) pada ketika ini adalah seorang menteri, ada kuasa dan wang. Tetapi seperti pilihan raya umum lalu, kami tidak ada kuasa dan duit, yang ada hanyalah semangat untuk membuat perubahan,” katanya.
FMT dfiahamkan, suatu majlis rasmi akan diadakan pada 8 Feb depan untuk memperkenalkan calon yang akan bertanding bagi jawatan ketua Pemuda PPBM.
Bagaimanapun pada ketika ini, siri jelajah fasa pertama dalam memperkenalkan calon berkenaan sudah diadakan di seluruh negara.
Syed Saddi sebelum ini mengumumkan untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti kali ini dan tidak gentar untuk dicabar mana-mana pihak.
Beliau dilaporkan berkata, keputusan untuk bertanding mempertahankan jawatan adalah untuk meraikan amalan demokrasi dalam parti.
PPBM akan mengadakan mesyuarat dan perhimpunan agung tahunan serentak dengan pemilihan kepimpinan tertinggi parti pada 20 Jun depan, manakala persidangan dan pemilihan di peringkat cawangan ditetapkan mulai 25 Jan hingga 1 Mac diikuti peringkat bahagian pada 4 April.