Jangan panik berikutan penularan wabak koronavirus, kata majlis pelancongan dunia

Jangan panik berikutan penularan wabak koronavirus, kata majlis pelancongan dunia

Menurut pengerusi WTTC Gloria Guevera, komunikasi pantas, tepat dan telus adalah kritikal bagi mengawal panik dan mengurus kerugian ekonomi yang negatif.

Pelancong memakai topeng muka di pintu masuk balai pelepasan perkhidmatan kereta api laju di Hong Kong. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Penularan wabak koronavirus di China boleh menimbulkan “kesan ekonomi kekal” ke atas sektor pelancongan dunia jika sikap panik dibiarkan berleluasa, kata Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia (WTTC) Jumaat, lapor AFP.

“Kes sebelum ini menunjukkan tindakan menutup lapangan terbang, membatalkan penerbangan dan menutup sempadan selalunya menimbulkan kesan ekonomi lebih besar berbanding wabak itu sendiri,” kata pengerusi WTTC Gloria Guevera.

“Komunikasi pantas, tepat dan telus juga kritikal bagi mengawal panik dan mengurus kerugian ekonomi yang negatif,” katanya menurut laporan itu lagi.

“Mengawal penularan rasa panik yang tidak perlu adalah sama pentingnya dengan langkah memgawal virus itu sendiri,” kata Guevera, bekas menteri pelancongan Mexico yang terlibat secara dekat dengan akibat penularan wabak virus influenza H1N1 pada 2010.

Menurut satu kajian berpangkalan di London, kesan H1N1 ke atas ekonomi dunia dianggarkan bernilai RM55 bilion.

Dalam pada itu, China mengalami penurunan KDNK pelancongan sebanyak 25% dan kehilangan 2.8 juta pekerjaan berikutan wabak SARS pada 2003.

Laporan itu juga menyebut pihak berkuasa China melaksanakan langkah kuarantin besar-besaran bagi mengawal jangkitan berbahaya itu melibatkan 13 bandar raya dan 41 juta penduduk.

Sehingga kini angka kematian disahkan akibat koronavirus adalah 41 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.