
Kesalahan lalu lintas jalan raya sememangnya tidak dapat dimaafkan kerana ia melibatkan nyawa sendiri serta orang lain jika kecelakaan berlaku.
Jika di Malaysia, apa jua kesalahan di jalan raya pasti pemandu atau penunggang itu akan disaman dan jika gagal membayar mereka juga tidak terlepas daripada menjalani hukuman penjara.
Namun di New Delhi denda yang dikenakan kedengaran sedikit pelik.
Ini kerana sebagai salah satu langkah inovatif untuk menggalakkan pemakaian topi keledar kepada penunggang motosikal, polis di negara itu akan meminta sesiapa yang didapati bersalah melanggar undang-undang untuk menulis karangan 100 patah perkataan mengenai sebab tidak memakai alat pelindung kepala semasa menunggang motosikal di jalan raya.
Inisiatif itu dilancarkan di daerah Bhopal sempena ‘Minggu Keselamatan Jalan Raya’ yang akan berakhir pada Jumaat nanti.
Langkah ini dipercayai mampu membantu penunggang motosikal untuk mengetahui kepentingan memakai topi keledar selain meningkatkan kemahiran menulis.
Menurut laporan India.com, lebih 150 penunggang motosikal tidak memakai topi keledar dan terpaksa menulis karangan 100 patah perkataan itu.

“Sepanjang Minggu Keselamatan Jalan Raya ini, penunggang motosikal yang didapati tidak memakai topi keledar akan diminta menulis karangan 100 patah perkataan menerangkan mengapa mereka tidak mematuhi undang-undang yang amat penting ini,” ujar Penguatkuasa Tambahan Polis, Pradeep Chouhan.
Difahamkan, inisiatif itu akan dikekalkan meskipun kempen Minggu Keselamatan Jalan Raya sudah tamat demi memastikan semua rakyat negara itu mematuhi undang-undang jalan raya.
Selain menulis karangan dan mengedarkan risalah, pemeriksaan mata kepada pemandu juga turut dijalankan sebagai sebahagian daripada kempen tersebut.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]