Kami tidak pernah setuju rancangan PSS, Upko jawab PBS

Kami tidak pernah setuju rancangan PSS, Upko jawab PBS

Semalam Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal memaklumkan bahawa Kabinet negeri bersetuju untuk tidak meneruskan rancangan PSS berikutan keputusan PRK Kimanis.

Masalah pendatang tanpa izin di Sabah merupakan isu panas dalam pilihan raya kecil Kimanis minggu lepas. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Upko membidas dakwaan Parti Bersatu Sabah (PBS) bahawa ia berubah pendirian berhubung rancangan kontroversi Pas Sementara Sabah dengan berkata, parti itu tidak pernah menyetujui rancangan itu.
Ketua Pemuda Upko Tuaran Charles Jauti.

Ketua Pemuda Upko Tuaran Charles Jauti berkata, tindakan ketua Pemuda PBS Tamparuli Boe Sendolun membuat dakwaan itu menunjukkan beliau tidak mengikuti perkembangan semasa.

“Upko tidak pernah membuat kenyataan bersetuju terhadap cadangan mengeluarkan dokumen PSS kepada pendatang asing.

“Upko konsisten berhubung isu pendatang tanpa izin dan jelas bahawa Boe tidak memahaminya.

“Boe sepatutnya memeriksa fakta terlebih dahulu sebelum membuat komen,” kata Jauti dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Sendolun mengkritik Upko berhubung “perubahan tiba-tiba pendiriannya” tentang isu PSS dengan berkata, ia “memalukan”.

Sendolun berkata, adalah “melucukan” apabila presiden Upko Wilfred Madius Tangau tiba-tiba mengubah pendiriannya selepas kekalahan calon Warisan dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

Jauti berkata, adalah tidak adil apabila Sendolun menuduh Upko tidak bersuara berhubung isu tersebut.

Beliau berkata, Upko menganjurkan perbincangan meja bulat berhubung isu tersebut sebelum ini.

“Upko merupakan antara parti yang mendesak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri (sebelum ini) yang akhirnya membawa kepada penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung isu pendatang tanpa izin di Sabah,” katanya.

Dalam pada tu, Jauti juga berkata, PBS tidak boleh mendabik dada berikutan keputusan kerajaan Sabah untuk membatalkan rancangan pas pendatang asing itu.

“Pemuda PBS tidak harus berbangga berhubung keputusan membatalkan PSS kerana ia dibuat berdasarkan perbincangan dengan Upko selepas mengambil kira kehendak rakyat Sabah, bukan kerana desakan parti itu,” katanya.

Jauti berkata, PBS hanya mahu mendapatkan semula popularitinya.

Semalam Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal memaklumkan bahawa Kabinet negeri bersetuju untuk tidak meneruskan rancangan PSS berikutan keputusan PRK Kimanis.

Katanya, beliau akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya membatalkannya segera.

PSS dicadangkan bagi menggantikan kad burung-burung, sijil banci dan kad pelarian IMM13.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.