Bocor soalan UPSR: Mahkamah Rayuan batal sabitan, hukuman ke atas guru

Bocor soalan UPSR: Mahkamah Rayuan batal sabitan, hukuman ke atas guru

Susulan permintaan pihak pendakwa raya, Hakim Hamid Sultan Abu Backer, yang mengetuai panel 3 hakim, membatalkan sabitan dan hukuman penjara ke atas Uma Mageswari.

Uma Mageswari dituduh mempunyai imej salinan kertas peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains dalam telefon bimbitnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Keruh, Pengkalan Hulu, Perak pada 10 Sept 2014. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan di sini hari ini membatalkan sabitan dan hukuman penjara setahun terhadap seorang guru yang didakwa memiliki soalan bocor kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 selepas representasinya diterima oleh peguam negara.

Peguam Haresh Mahadevan memaklumkan kepada panel 3 hakim bahawa anak guamnya P Uma Mageswari mengemukakan representasi pada Dis tahun lepas dan peguam negara menerima representasinya itu.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, berkata, arahan yang diberikan adalah untuk membenarkan rayuan Uma Mageswari.

Susulan permintaan pihak pendakwa raya itu, Hakim Hamid Sultan Abu Backer, yang mengetuai panel itu, membatalkan sabitan dan hukuman penjara Uma Mageswari.

Beliau juga mengarahkan wang jaminan berjumlah RM5,000 dikembalikan kepada Uma Mageswari.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Rhodzariah Bujang dan Hanipah Farikullah.

Uma Mageswari, 33, yang digantung kerja berikutan sabitannya oleh Mahkamah Tinggi, merayu terhadap keputusan mahkamah pada tahun lepas yang mendapati beliau bersalah atas tuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara setahun.

Namun beliau dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dan seorang penjamin oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu pendengaran rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Sesyen pada awalnya melepaskan dan membebaskan Uma Mageswari tanpa memanggilnya untuk membela diri pada 2016.

Bagaimanapun susulan rayuan dikemukakan pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi mengarahkannya untuk membela diri.

Pada akhir kes pembelaan, Mahkamah Sesyen membebaskan Uma Mageswari daripada pertuduhan itu. Pihak pendakwaan kemudiannya merayu ke Mahkamah Tinggi yang kemudian mensabitkannya.

Uma Mageswari dituduh mempunyai imej salinan kertas peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains dalam telefon bimbitnya di sekolah tempat dia mengajar, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Keruh, Pengkalan Hulu, Perak pada 10 Sept 2014.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 8 (1) (c) (iii) Akta Rahsia Rasmi 1972.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.