
Naib Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli berkata lebih “molek” Saifuddin menumpukan usaha kepada pengukuhan parti.
“Saya fikir tidak perlulah setiausaha agung buat sebarang kenyataan berhubung perkara di bawah bidang kuasa lembaga disiplin.

“Banyak urusan pentadbiran dan pengukuhan parti yang perlu beliau laksanakan berbanding ‘berminat’ dengan desakan tindakan disiplin dan pemecatan terhadap YB Zuraida yang dipilih oleh anggota parti, fokus tugas masing-masing,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Saifuddin menasihati Zuraida menjawab surat tunjuk sebab dengan tenang berhubung ucapan kontroversinya pada satu majlis di sebuah hotel Disember lalu.
“Apabila nanti ditetapkan masanya oleh jawatankuasa disiplin, beliau tampil memberi penjelasan… kemudian ikut proses,” katanya.
PKR memberi tempoh selama 14 hari kepada Zuraida bermula Sabtu lepas untuk menunjukkan sebab atas ucapannya di satu majlis makan malam pada 8 Dis lalu, yang didakwa menghina ahli parti dan mendedahkan butiran perbualannya dengan Presiden Anwar Ibrahim.
Majlis itu, yang turut dihadiri Azmin Ali diadakan selepas kongres nasional tahunan PKR, yang menyaksikan pergaduhan antara beberapa kumpulan pemuda dan ketidakpuasan hati Azmin dan sekutu terhadap ucapan perwakilan.

Ketua Penerangan Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah pula menyifatkan kenyataan Saifuddin menampakkan beliau berat sebelah dan anti kepada kumpulan pro Azmin.
“Saifuddin tidak sepatutnya mencampuri urusan pihak lembaga disiplin parti. Sebab nampak sangat berat sebelah, bukan semua tidak tahu Saifuddin anti Azmin dan Zuraida.
“Suruh Saifuddin turunkan harga barangan dulu sebab itu kementerian dia. Rakyat dah bosan dengan menteri kawal harga barang lebih suka main politik dari buat kerja rakyat,” katanya merujuk kepada tugas Saifuddin sebagai menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).